MOA terima peruntukan pembangunan RM1.3 bilion

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mendapat peruntukan pembangunan berjumlah lebih RM1.3 bilion bagi belanjawan tahun depan untuk melaksanakan 374 projek dan program berkaitan pertanian di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, jumlah yang diluluskan itu lebih tinggi berbanding tahun ini dengan peningkatan sebanyak RM3.87 juta.

“Ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dalam memajukan sektor pertanian dan komited untuk meneruskan projek dan program pembangunan yang telah dirancang, malah bantuan kepada petani, pesawah dan nelayan tetap diteruskan,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, antara lain peruntukan itu akan disalurkan untuk perbelanjaan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) iaitu sebanyak (RM796 juta) serta Elaun Sara Hidup Nelayan (ESH) (RM152 juta) yang telah dinaikkan dari RM200 kepada RM250 sebulan.

Sementara itu, mengulas mengenai kadar bantuan ESH, Salahuddin berkata, selaras dengan kemampuan kewangan semasa kerajaan yang terhad, pemberian bantuan dibuat secara selektif dan bersasar.

Menurut beliau, kadar bantuan ESH ditetapkan setelah mengambil kira insentif dan subsidi lain yang masih diberikan dan sehingga Ogos 2019, jumlah penerima ESH bagi kategori nelayan laut ialah 34,617 orang selepas melalui proses pemutihan.

“Pemutihan ESH dibuat berdasarkan kepada kriteria seperti keaktifan nelayan turun menangkap ikan khususnya bagi nelayan yang berusia lebih 70 tahun, rekod pengisytiharan pendaratan ikan secara bulanan, dan kekerapan pembelian minyak bersubsidi nelayan.

Salahuddin turut menafikan dakwaan pihak pembangkang bahawa golongan petani, pesawah, penternak dan nelayan akan terabai, berikutan pengurangan peruntukan mengurus antara RM1.5 juta ke RM11.9 juta kepada agensi-agensi di bawah kementeriannya.

“Dakwaan ini adalah tidak tepat kerana MOA dan agensinya telah menyusun semula program-program yang telah dirancang dengan pendekatan ‘do more with less’.
Artikel Berkaitan:


"Ini dapat dicapai dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah, menjalin sinergi dengan entiti korporat, dan mengoptimumkan matlamat penganjuran majlis.

“Melalui penyusunan semula program-program ini, sasaran yang ditetapkan masih dapat dicapai walaupun peruntukan yang diterima sedikit berkurangan,” katanya. - Bernama