X

Kindly register in order to view this article
!

37,115 mohon sertai PDRM: Mazlan

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (kiri) bersama Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Abd Rahim Jaafar ketika gimik pelancaran e-Pengambilan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 37,115 permohonan bagi mengisi 6,000 kekosongan jawatan dalam agensi itu sejak pelaksanaan sistem e-Pengambilan PDRM pada 23 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, pengambilan itu membabitkan permohonan jawatan inspektor, konstabel dan konstabel (sokongan) yang dibuka tawarannya sehingga 8 November lalu.

Menurutnya, sehingga 25 Oktober, permohonan yang telah diterima melalui e-Pengambilan bagi jawatan inspektor sebanyak 11,321 permohonan iaitu 5,470 lelaki dan 5,861 wanita.

"Bagi jawatan konstabel, sebanyak 22,441 permohonan diterima setakat ini yang mana 11,688 adalah lelaki dan 10,753 wanita. Manakala bagi konstabel (sokongan) pula terdiri daripada 3,353 lelaki.

"Saya amat berbangga apabila profesion kepolisan sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat malah ada antara pemohon sanggup berulang-kali mencuba untuk menyertai kerjaya murni ini," katanya sempena Majlis Pelancaran e-Pengambilan PDRM di Bukit Aman hari ini.

Turut hadir adalah Ahli Suruhanjaya Pasukan Polis merangkap Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Datuk Seri Zoal Azha Yusof.

Mengulas lanjut Mazlan berkata, permohonan tertinggi terdiri daripada kaum Melayu iaitu 28,642.

Katanya, bagi kaum Cina seramai 452, India (1,094) dan lain-lain kaum (6,987).

"Syarat kemasukan masih sama dan saya rasa pemohon sudah mengetahui syarat-syarat yang diperlukan. Dengan adanya sistem e-Pengambilan ini, setiap permohonan yang diterima dapat diperhalusi dan pemilihan berdasarkan keperluan semasa pasukan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!