[VIDEO] 1,173 bomba di Terengganu siap sedia hadapi banjir

Mohamad Shoki (dua dari kanan) sedang memeriksa keadaan jaket keselamatan bagi memastikan ianya dalam keadaan selamat untuk digunakan semasa bantuan banjir nanti. Hadir sama, Timbalannya, Penguasa Kanan Bomba 1 Sharikan Bustaman (kiri) dan Ketua Cawangan Pengurusan Pasukan Penyelamat JBPM Malaysia, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zahar Abdullah.
Mohamad Shoki (dua dari kanan) sedang memeriksa keadaan jaket keselamatan bagi memastikan ianya dalam keadaan selamat untuk digunakan semasa bantuan banjir nanti. Hadir sama, Timbalannya, Penguasa Kanan Bomba 1 Sharikan Bustaman (kiri) dan Ketua Cawangan Pengurusan Pasukan Penyelamat JBPM Malaysia, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zahar Abdullah.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 1,173 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu termasuk Pasukan Bomba Sukarela Terengganu bersedia berdepan musim banjir yang dijangka bermula pada 22 November ini sehingga Mac tahun depan di negeri ini.

Pengarah JBPM Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohamad Shoki Hamzah berkata, persediaan bagi menghadapi bencana itu turut melibatkan seramai 56 anggota daripada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) iaitu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Chukai, Kuala Berang dan Jerteh.

Katanya, semua persiapan sudah dilakukan termasuk pemeriksaan aset dan kenderaan penyelamat di air iaitu sebanyak 41 buah dan di darat berjumlah 94 buah yang akan ditempatkan di kawasan dikenal pasti berpotensi banjir di negeri ini.

"Sebanyak 193 kawasan sudah dikenalpasti berpotensi banjir di negeri ini iaitu termasuk Kuala Terengganu/Kuala Nerus sebanyak 15 kawasan, Marang (27), Besut (30), Setiu (21), Dungun (32),Kemaman (39) dan Hulu Terengganu (29)," katanya kepada pemberita dalam sidang media di dewan BBP di sini hari ini.

Katanya, selain itu pihaknya juga sudah mengeluarkan arahan membekukan cuti semua pegawai dan anggota yang ditugaskan untuk operasi terbabit.

"Cuma kita masih memberi pelepasan kepada mereka yang mungkin terpaksa bercuti kerana kecemasan tetapi hanya 20 peratus daripada mereka sahaja dibenarkan dalam satu masa.

"Bagi mereka yang diluluskan cuti sebelum berlaku banjir akan diarahkan bertugas semula dalam tempoh masa segera," katanya.

Mohamad Shoki berkata, sebagai persediaan terkini dan tindakan awal, pihaknya mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir (BGB) di Pusat Gerakan Operasi (PGO) dengan menempatkan seorang pegawai kanan sebagai ketua untuk memantau gerak kerja operasi banjir di peringkat negeri.

Artikel Berkaitan:

"Laporan khas banjir perlu dihantar dua kali setiap hari ke Pusat Pengurusan Operasi (PPO) JBPM iaitu pada jam 8 pagi dan jam 10 malam," katanya.

Sementara itu, Mohamad Shoki menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko banjir agar sentiasa prihatin dengan maklumat atau hebahan semasa yang disampaikan melalui media atau agensi kerajaan yang berkenaan serta Bilik Gerakan Banjir berhampiran.

"Bagi mereka yang mempunyai bayi di dalam rumah, pastikan membawa kelengkapan bayi supaya mudah diuruskan ketika banjir berlaku selain simpan nombor telefon klinik, hospital dan orang yang boleh dihubungi ketika kecemasan.

"Pesakit kronik pula perlu membawa ubatan mencukupi selain pemantauan jadual rawatan kerana dikhuatiri berdepan masalah ketika berada dalam keadaan banjir," katanya.