Larangan merokok: Menteri zahirkan ucapan tahniah

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia dan warga kementerian itu berikutan keputusan mahkamah tinggi menolak permohonan semakan kehakiman difailkan kumpulan perokok untuk mencabar larangan merokok di tempat awam.

Menerusi ciapannya di Twitter, Dr Dzulkefly turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam mempertahankan polisi larangan merokok di tempat makan awam.

"Tahniah dan jutaan terima kasih kepada warga KKM yang gigih dan konsisten pertahankan polisi larangan merokok di tempat makan awam.

"Jutaan terima kasih dan syabas kepada semua NGO (badan bukan kerajaan) yang turut komited menyokong dan mempertahankan polisi larangan ini. Tahniah rakyat Malaysia!," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kumpulan Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok untuk menyemak polisi larangan tersebut.

Hakim, Mariana Yahya dalam keputusannya memutuskan dakwaan kumpulan tersebut bahawa hak perokok dicabuli berikutan larangan itu adalah kekhilafan.

“Mereka mendakwa larangan yang dilaksanakan itu bertentangan hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Bagaimanapun mereka masih boleh merokok tiga meter atau 10 kaki di luar premis. Tiada undang-undang untuk melarang kumpulan pemohon merokok sama sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, KKM mengeluarkan larangan merokok di semua premis makanan seperti restoran tertutup berhawa dingin dan warung konsep terbuka dikuatkuasakan 1 Januari lalu.

Perokok hanya boleh merokok dari jarak tiga meter dari premis makanan tersebut.