Penyakit ASF: MOA pantau kemasukan produk babi

Sim Tze Tzin
Sim Tze Tzin
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berusaha membendung penularan penyakit African Swine Fever (ASF) memasuki negara ini.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, wabak ASF melanda 10 negara Asia iaitu China, Mongolia, Vietnam, Kemboja, Korea Utara, Laos, Myanmar, Filipina, Korea Selatan danTimor Leste.

Menurutnya, kemasukan penyakit ASF ke Malaysia akan memberikan kesan negatif terhadap industri babi negara yang menyumbang 13 peratus daripada keseluruhan nilai industri ternakan di Malaysia.

"Penyakit ASF berpunca daripada virus famili Asfaviridae, iaitu penyakit demam berdarah akut yang menyerang ternakan babi dan babi liar serta boleh menyebabkan kematian dalam tempoh dua hingga 10 hari.

"Negara lain telah mengambil langkah-langkah kawalan di pintu masuk negara untuk mengawal kemasukan produk berasaskan babi dari negara terjangkit.

"Kita juga adakan sesi libat urus dengan pihak operator pengurusan sisa di semua pelabuhan seluruh negara bagi memberikan taklimat tatacara pelupusan sisa berasaskan haiwan daripada kapal dagang dan melaksanakan kempen kesedaran awam kepada penternak babi," katanya.

Beliau berkata, pada 27 Oktober 2019, Sarawak telah mengeluarkan larangan pengimportan produk berasaskan babi ke atas negara-negara yang dijangkiti ASF termasuk China.

"Larangan ini dikeluarkan berikutan pengesanan DNA virus ASF dalam produk ‘canned luncheon pork’ yang diimport dari China yang disahkan oleh Makmal Kesihatan Awam Veterinar, Bandar Baru SalakTinggi pada 25 Oktober 2019," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tze Tzin berkata, pihak kementerian juga akan menyelaraskan pelbagai agensi bagi melakukan pemeriksaan ke premis yang disyaki membawa masuk babi, produk atau daging secara tidak sah mulai minggu ini.

"Kementerian memohon persefahaman daripada para pengusaha untuk melaporkan segera babi yang disyaki berpenyakit atau mati kepada pihak veterinar. Kegagalan berbuat demikian boleh didenda tidak lebih RM25,000. Adalah menjadi kewajipan mana-mana pemilik ternakan babi di bawah Seksyen31, Akta Binatang1953 (Akta647) untuk melaporkannya," katanya.