X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki ugut bunuh ibu dengan parang

A
A

DUNGUN - Seorang anak tergamak mengugut mahu membunuh ibu kandungnya menggunakan sebilah parang selepas berang permintaan untuk mendapatkan sejumlah wang tidak ditunaikan, dalam kejadian di sebuah rumah di Paka, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam, lelaki berusia 20-an itu yang dikatakan balik ke rumah dalam keadaan marah bersikap biadab dengan menendang pintu rumah sekuat hati sambil memaki hamun mangsa yang juga warga emas berusia 75 dengan memaksanya menyerahkan wang.

Kata sumber, bagaimanapun permintaan suspek tidak dihiraukan mangsa dengan memberi alasan tiada wang sebelum dipaksa berkali-kali kata-kata kesat.

"Tidak cukup dengan itu, suspek seperti dirasuk apabila mengambil sebilah parang di dapur sebelum mengugut mahu membunuh mangsa dengan senjata itu sekiranya masih berdegil tidak mahu memberikan wang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas sumber, mangsa yang bimbang keselamatan dirinya dan takut dengan ugutan itu terpaksa memberi wang kepada suspek sebelum lelaki itu beredar meninggalkan rumah.

"Bimbang perkara sama berulang lagi dan risau keselamatan diri serta ahli keluarga lain, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian semalam.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!