X

Kindly register in order to view this article
!

Nak bersih nama punya pasal, pesara rugi lebih RM150,000

A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pesara sanggup menyerahkan semua wang simpanannya termasuk di dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah keseluruhan RM152,500 demi membersihkan namanya daripada 'rekod pengubahan wang haram'.

Tindakannya itu bagaimanapun memakan diri apabila kesemua wangnya lesap ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Telekom Malaysia (TM) dan polis.

Menurut sumber, pada 15 Oktober lalu, mangsa berusia 62 tahun menerima panggilan menerusi telefon rumahnya memaklumkan mempunyai tunggakan penggunaan talian telefon rumah di Kuala Lumpur berjumlah RM380 didaftarkan atas namanya, namun dinafikan mangsa.

"Panggilan kemudian disambungkan kepada polis Kontinjen Kuala Lumpur kononnya untuk membuat laporan polis kerana penyalahgunaan nama dan disambut seorang wanita memperkenalkan diri sebagai Sarjan Nurmila sebelum meminta beberapa maklumat peribadi mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa turut dimaklumkan terlibat jenayah pengubahan wang haram berjumlah RM1.5 juta bersama Jimmy Wong dan dia diminta memberi maklumat bank bagi pembekuan aset sebelum panggilan disambung kepada 'Inspektor Saiful' kononnya bagi membuka satu akaun sementara di mahkamah untuk pemindahan wang dalam akaunnya bagi tujuan siasatan.

"Disebabkan ketakutan, mangsa tanpa berlengah melakukan pemindahan wang dari semua akaun bank miliknya ke dalam akaun bank diberikan dan turut diminta menyediakan wang sebanyak RM30,000. Sekiranya gagal, waran tangkap akan dikeluarkan sehingga memaksa dia meminjam dengan adiknya kerana tidak mempunyai wang lagi," katanya.

Jelas sumber, tidak cukup dengan itu, mangsa turut diberitahu semakan mendapati terdapat wang haram di dalam akaunnya sebelum diminta mengeluarkan semua wang KWSP miliknya dan memasukkan ke dalam akaun bank diberikan.

Katanya, mangsa yang berasa curiga selepas memasukkan wang KWSP berjumlah RM21,000 ke dalam akaun diberikan kemudian menceritakan kejadian itu kepada anak saudaranya.

"Sejurus menyedari ditipu selain bimbang keselamatan diri dan keluarga kerana pernah diugut (suspek) akan datang ke rumah, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!