Raja Perlis cemar duli majlis santapan Malam Perlis 2019

Tuanku Syed Sirajuddin menyantuni rakyat pada majlis santapan Malam Perlis 2019.
Tuanku Syed Sirajuddin menyantuni rakyat pada majlis santapan Malam Perlis 2019.
A
A
A

SHAH ALAM - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menghadiri majlis santapan Malam Perlis 2019' di Mahkota Ballroom, Hotel Istana Kuala Lumpur semalam.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Timbalan Yang Dipertua Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL), Datuk Azmi Talib serta ahli jawatankuasa yang lain.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam titah ucapannya, baginda mengalu-alukan anak-anak Perlis di perantauan untuk membantu mempromosikan negeri Perlis kepada jaringan pelabur yang dikenali mereka di dalam mahupun luar negara.

Baginda bertitah, promosi itu akan merancakkan lagi ekonomi negeri khususnya bagi kawasan pelabuhan darat di Padang Besar dan Kawasan Pembangunan Lembah Chuping (CVIA).

Baginda bertitah lagi, cadangan pembinaan pelabuhan di Kuala Sanglang jika dapat dilaksanakan dengan jayanya secara tidak langsung akan memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan kepada anak jati negeri Perlis.

Seramai 750 anak-anak Perlis di perantauan khususnya yang bermastautin di sekitar Lembah Klang hadir pada majlis yang dianjurkan secara dwi tahunan oleh PPKL tersebut.

Hadirin dihiburkan oleh artis undangan Zahid AF2 dan saksafonis, Eizaz Datuk Azhar.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, PPKL ditubuhkan 44 tahun yang lalu pada 1975 dan kini mempunyai seramai lebih daripada 1,300 keahlian.