X

Kindly register in order to view this article
!

Cuaca sejuk cabaran Speedy Tigers berdepan Britain

Subahan (tengah) bersama Juara Skuad Lelaki pasukan DP Tigers dari Sekolah Kebangsaan Desa Petaling (kiri) dan Skuad Perempuan pasukan Bemban Tigres dari Sekolah Kebangsaan Seri Bemban (kanan) selepas Majlis Penutup Kejohanan Hoki Piala Ketua Menteri Melaka di Bukit Serindit semalam. - Foto Bernama
A
A

MELAKA TENGAH - Skuad hoki lelaki negara atau Speedy Tigers berdepan beberapa cabaran getir bagi menghadapi saingan Great Britain pada aksi kelayakan terakhir Sukan Olimpik 2020 di London pada 2 dan 3 November ini.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, ia ekoran cuaca sejuk yang perlu dihadapi pemain dan jadual perlawanan yang padat bagi dua aksi timbal balik menentang Great Britain dalam tempoh 24 jam dikhuatiri memberi kesan prestasi skuad untuk beraksi cemerlang menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun katanya, cabaran itu mampu diatasi skuad pimpinan Roelant Oltmans itu sekiranya barisan pemain mengekalkan semangat bermain secara berpasukan, bekerjasama dan komited mempamerkan aksi terbaik dan berdisiplin.

"Bagi saya tiada apa yang mustahil untuk kita ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 kerana Malaysia kini berada pada kedudukan ke-11 dunia dan kita telah beri pendedahan terbaik kepada semua pemain.

"Sekarang ini terpulang pada pemain kerana kalau semangat mereka kuat dan bertekad untuk menang, tiada yang mustahil kerana kita dah lihat macam mana India boleh kalahkan Belgium dan kita sendiri pernah kalahkan India dan Argentina...pernah seri dengan England," katanya ketika selepas Majlis Penutup Kejohanan Hoki Bawah 11 Tahun Piala Ketua Menteri Melaka di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persediaan Malaysian Tigers yang akan ke London hari ini bagi berdepan perlawanan menentang Great Britain selepas perlawanan persahabatan bersama kelab Belanda, Gazellen-Combinatie pada Sabtu dan HC Bloemendaal semalam.

Mengulas lanjut, Subahan berkata, skuad negara perlu menterjemahkan kepercayaan yang diberikan rakyat Malaysia dan KHM menerusi kejayaan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Katanya, Oltmans telah melakukan yang terbaik dari aspek teknikal yang boleh diaplikasikan dalam saingan menentang Great Britain selain menggunakan khidmat tiga bekas pemain utama dunia seperti pakar pukulan sudut Belanda, Taeke Taekema, jurulatih penjaga gol Belanda, Martirjn Dwyer dan bekas penyerang Australia, Michael McCann akan berkongsi pengalaman mereka dengan pemain.

"Setakat ini persiapan perlawanan kelayakan akhir adalah positif ... semua pemain dalam keadaan baik dan sihat," katanya.

Untuk rekod, Malaysia tewas 0-1 kepada Great Britain pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2017.

Malaysia kini dalam misi menamatkan kemarau layak ke Sukan Olimpik selepas kali terakhir menjejak kaki ke temasya itu pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

Terdahulu, majlis penutup dan penyampaian hadiah kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bemban, Datuk Wong Fort Pin.

Kejohanan itu disertai masing-masing 40 pasukan lelaki dan perempuan dari sembilan negeri yang mana juara bagi skuad lelaki ialah pasukan DP Tigers dari Sekolah Kebangsaan Desa Petaling manakala juara bagi skuad perempuan dimenangi pasukan Bemban Tigres dari Sekolah Kebangsaan Seri Bemban. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus