Haram DAP: Pas tidak matang, kata Aziz Bari

Aziz Bari - Foto fail
Aziz Bari - Foto fail
A
A
A

IPOH - DAP Perak menyifatkan desakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man agar DAP diharamkan sebagai dangkal perlembagaan.

Naib Pengerusinya, Dr Abdul Aziz Bari berkata, kenyataan itu menunjukkan Pas tidak matang hingga mengeluarkan saranan yang serius hanya berdasarkan dakwaan dan fitnah oleh musuh politik.

Menurutnya, menubuhkan parti adalah asas yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“DAP Perak mengajak orang ramai untuk menolak parti yang jahil demokrasi dan buta perlembagaan seperti Pas.

“Mereka tidak layak diangkat sebagai parti pemerintah. Kenyataan itu adalah bukti menunjukkan parti itu rasis dan berfahaman sempit sebagaimana UMNO yang pernah dipertikaikan akidah dan keislaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, parti itu gagal menunjukkan akhlak yang baik kerana menuduh tanpa bukti dan membuat pendirian berdasarkan prejudis.

“Pas sendiri pernah dituduh sebagai parti ajaran sesat oleh UMNO. Seruan sama yang digunakan Pas kini menunjukkan parti itu hanyalah budak suruhan UMNO.

“Tiga hujah yang dikemukakan dengan mengaitkan DAP sebagai merbahaya dan perlu diharamkan adalah tidak berasas kerana tuduhan itu tiada kaitan langsung dengan DAP,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: DAP Johor selar Pas mahu parti itu diharamkan