Guru ditipu terlibat tunggakan GST rugi RM36,000

No Image Caption
A
A
A

TAMPIN - Seorang guru wanita kerugian lebih RM36,000 selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa dia terbabit dalam pengubahan wang haram dan tunggakan GST.

Mangsa yang berusia 35 tahun dan bertugas di daerah ini difahamkan melakukan 12 transaksi selepas menerima panggilan pada 19 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian itu selepas menyedari ditipu, petang kelmarin.

“Mangsa dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri dengan nama Jeff Antony dan memberitahu bahawa pengadu mempunyai tunggakan GST satu syarikat.

“Pengadu menafikan perkara tersebut kerana tidak mempunyai syarikat, namun lelaki tersebut memberitahu kemungkinan maklumat pengadu digunakan pihak lain," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Menurutnya, pengadu kemudian diminta membuat laporan polis melalui panggilan yang disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan mangsa bercakap dengan seorang lelaki Cina yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Liew.

"Lelaki yang menyamar anggota polis itu turut memberitahu nama pengadu terlibat dengan penggubahan wang haram dan pengedaran dadah sebelum meminta mangsa memindahkan semua wang yang ada ke dalam akaun yang diberikan.

"Ia bagi tujuan membuat semakan sama ada wang pengadu terlibat dengan kes tersebut atau tidak dan disebabkan panik, mangsa membuat 12 transaksi ke enam akaun yang berbeza dengan jumlah keseluruhan RM36,070,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ramli berkata, lelaki itu berjanji akan memulangkan semula wang tersebut pada 31 Disember lalu namun tidak berbuat demikian malah nombor diberikan gagal dihubungi pengadu.

“Pengadu kemudiannya membuat laporan polis kerana rasa tertipu dan dipercayai menjadi mangsa Macau Scam. Kita sudah mengenal pasti pemilik akaun yang terlibat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika menerima panggilan daripada orang tidak dikenali dan jika melibatkan anggota polis sila maklumkan balai polis berhampiran untuk pengesahan," katanya.