Pemimpin Pas kena berani isytihar harta, bukti tolak politik wang

Steven Sim Chee Keong
Steven Sim Chee Keong
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pemimpin Pas diminta mengikut jejak Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dalam pengisytiharan harta mengikut usul yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai lalu.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, pemimpin Pas perlu berani berbuat demikian bagi menunjukkan politik matang dan bersih seperti yang diperkatakan Pas sebelum ini.

Menurutnya, dengan kes berprofil tinggi di mahkamah yang melibatkan beberapa pemimpin Pas pada waktu ini, adalah wajar Pas mengisytihar harta bagi membuktikan kesungguhan parti tersebut melawan rasuah dan politik wang.

"Pengisytiharan harta merupakan tindakan terbaik untuk melaksanakan politik bersih, telus dan matang seperti yang diperkatakan oleh Pas selama ini. Pengisytiharan harta juga merupakan peluang untuk semua wakil rakyat menjauhkan diri daripada segala fitnah dan memelihara mereka daripada kemungkaran.

"Oleh itu, saya meminta pemimpin Pas mengikut jejak Ahli Parlimen PH dan Parti Warisan Sabah untuk mengisytiharkan harta mereka. Berani kerana benar, amar ma'ruf nahi mungkar," katanya dalam satu kenyataan medianya tadi.

Dalam pada itu, Chee Keong turut menyatakan kekecewaannya terhadap kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung ahli Parlimen Pas tidak akan mengisytiharkan harta mengikut usul yang diluluskan tersebut.

"Pada tahun ini, Pas telah disiasat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atas dakwaan menerima RM90 juta daripada UMNO, yang dipercayai wang dari sumber 1MDB. Kes ini kini telah diserahkan ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Terbaharu minggu lalu, bekas ahli Parlimen Pas yang juga bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengubah wang haram dan pecah amanah melibatkan wang berjumlah hampir RM4 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Julai lalu, Tuan Ibrahim berkata, Pas tidak menyokong usul isytihar harta terutamanya melibatkan ahli Parlimen memandangkan mereka tiada akses kepada projek-projek kerajaan.

Beliau berkata, bagaimanapun pemimpin kerajaan harus mengisytiharkan harta kerana memiliki akses untuk dapat projek.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menganggap usul isytihar harta sebagai tiada asas undang-undang dan melibatkan isteri dan anak-anak.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada keperluan pembangkang isytihar harta, kata Tuan Ibrahim