Sarawak, Petronas terus bincang isu petroleum

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. - Foto Bernama
Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Perbincangan antara kerajaan negeri Sarawak dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) .mengenai isu petroleum akan diteruskan, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata Perdana Menteri Perdana Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan perkara itu yang cadangan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet pada 17 Disember lalu.

Abang Johari berkata ini disebabkan pihak Petronas telah mengambil langkah berhati-hati berikutan minat Sarawak untuk mengambil bahagian dalam aktiviti hiliran dan huluan industri minyak dan gas di negeri ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Konsultatif Perjanjian Malaysia 1963 di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Abang Johari, semasa mesyuarat pada 17 Disember lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah menyampaikan pandangan bahawa cukai jualan yang dikenakan ke atas produk petroleum bermula 1 Jan ini adalah tidak wajar, tetapi kerajaan negeri telah menegaskan bahawa ia adalah hak negeri Sarawak dan ia dilaksanakan di bawah Perlermbagaan Persekutuan, Perkara 95C dan Jadual Kesepuluh.

“Sarawak juga berpandangan bahawa ianya hendaklah mengambil kira cukai petroleum (PITA) yang dikenakan oleh kerajaan persekutuan,” katanya.

Ditanya lanjut, Abang Johari berkata Sarawak sebenarnya boleh menggenakan peratus cukai yang lebih tinggi, misalnya 10 peratus tetapi kerajaan negeri Sarawak turut mempertimbangkan suasana ekonomi semasa.

Menurut Abang Johari, menteri kewangan memberi sebab ketidak wajaran menggenakan cukai julan tersebut atas faktor ia akan menaikkan kos dan pelabur mungkin tidak mahu lagi melabur dalam industri minyak dan gas di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi jawapan saya kepada beliau ialah hak menggenakan cukai dibenarkan di bawah perlembagaan tetapi jika ia tidak kompetitif maka kerajaan persekutuan boleh membuat perubahan ke atas struktur cukainya kerana pada masa ini kerajaan persekutuan turut menggenakan cukai pendapatan petroleum sebanyak 38 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari mencadangkan kerajaan persekutuan mengurangkan kadar cukai pendapatan petroleumnya sebanyak lima peratus menjadi 33 peratus sahaja.

“Kenapa harus kita (Sarawak) mengorbankan hak kita?” tanya beliau sambal berkata para anggota Jawatankuasa Khas itu turut bersetuju bahawa ia adalah hak negeri Sarawak.

Menurut Abang Johari lagi, semasa mesyuarat jawatankuasa khas itu lima perkara telah dibincangkan dan kerajaan Sarawak telah menyokong atas cadangan pindaan perlembagaan dalam Perkara 1(2) mengenai tiga wilayah dalam pembentukan Malaysia.

Mesyuarat itu juga bersetuju bahawa isu-isu yang dibentangkan oleh Sarawak dan Sabah akan diperinci dan dibincangkan dengan lebih lanjut di dalam dua jawatankuasa yang turut ditubuhkan, iaitu Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja.

Selain itu, katanya mesyuarat juga bersetuju penambahan anggota jawatankuasa khas seperti yang dicadang oleh Sabah dan Sarawak.

“Kajian semula perkara-perkara khusus yang hanya melibatkan Sarawak dan Sabah tidak akan menjejaskan kedudukan negeri lain dalam hal kuasa negeri untuk menggubal undang-undang negeri, geran khas dan hasil pendapatan khas di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ketua Menteri berkata Jawatankuasa Khas diberi tempoh enam bulan bagi mendapatkan laporan penuh dan jalan penyelesaian bagi isu-isu yang dikemukakan di dalam jawatan kuasa berkenaan.

Katanya, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja akan mula membincangkan perkara-perkara berkenaan mulai Januari ini, manakala mesyuarat seterusnya bagi Jawatankuasa Kabinet dijangka diadakan pada bulan Februari dan April tahun ini.

Sementara itu, Abang Johari berkata kerajaan negeri Sarawak telah menetapkan beberapa perkara tertentu yang tidak terbuka untuk perbincangan, iaitu kuasa autonomi imigresen, hak untuk menguatkuasakan undang-undang negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan, perlindungan sempadan negeri dan kedaulatan atas dasar laut, bawah tanah dan hasil-hasil di dalam sampadan negeri.

Manakala isu-isu yang perlu dibincangkan dalam Jawatankuasa Khas itu ialah keperluan kajian semula pemberian khas kepada negeri Sarawak dan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, hak kepada sumber kewangan tambahan di bawah jadual kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Turut perlu dibincangkan ialah kuasa baki perundangan di bawah Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan, tanah negeri yang tidak diperlukan lagi oleh kerajaan persekutuan, iaitu yang terletak di bawah Suruhanjaya Tanah Persekutuan hendaklah dikembalikan kepada Sarawak dan perlaksanaan kuasa persekutuan berkaitan pendidikan, perubatan dan kesihatan yang kurang memuaskan. - Bernama