Pembangkang ambil pendirian jika konsensus peralihan PM gagal

Annuar Musa -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Annuar Musa -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Blok pembangkang akan mengambil pendirian berhubung peralihan kuasa Perdana Menteri sekiranya 138 Ahli Parlimen Pakatan Harapan gagal mencapai konsensus sesama mereka.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu berhubung perkara berkenaan.

Menurutnya, UMNO juga akan merujuk terlebih dahulu parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) termasuk Pas sebagai rakan dalam Muafakat Nasional.

"Apa jua keputusan parti nanti ianya berupa keputusan 'en bloc' dan akan dipatuhi oleh semua Ahli Parlimen BN," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan enam Ahli Parlimen pembangkang yang memberi sokongan agar Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan mandat sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya umum seterusnya.

Enam individu berkenaan adalah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Dr Adham Baba (Tenggara), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran) dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Dalam satu sidang media di Lobi Parlimen Khamis lalu, keenam-enam Ahli Parlimen berkenaan berkata, Dr Mahathir perlu terus menjadi Perdana Menteri bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara terus menjadi keutamaan.

ARTIKEL BERKAITAN: 18 wakil rakyat Pas, enam dari UMNO sokong Dr Mahathir

Artikel Berkaitan:

Sewaktu sesi perbahasan pula, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan turut memberi jaminan kesemua Ahli Parlimennya berjumlah 16 orang turut memberi sokongan kepada Dr Mahathir.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, pihaknya menghormati pendirian Pas dan yakin mereka mempunyai alasan tersendiri.

Bagaimanapun mengenai tindakan Ahli Parlimen UMNO itu, beliau menjelaskan bahawa presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan bahawa tindakan tersebut hanyalah bersifat pandangan peribadi mereka sahaja.

"Buat masa ini, UMNO belum berhasrat memutuskan sebarang ketetapan kerana ia dianggap masih terlalu pramatang," katanya.

Sehubungan itu, Annuar menegaskan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang bertanggungjawab dan pembangkang yang berwibawa.

"UMNO mengambil sikap menghormati institusi Perdana Menteri peranan kerajaan semasa serta mahukan kedua-duanya berfungsi dengan baik dan mengutamakan kepentingan rakyat, agama, bangsa dan tanah air.

"UMNO komited untuk terus berjuang demi rakyat bersama rakan komponen BN dan Pas serta semua parti di blok pembangkang.

"Saya menyeru semua pihak agar tidak terlalu cepat membuat telahan atau konklusi, sebelum tiba masanya kita diperlukan berbuat demikian," ujarnya.