Satu lagi PPS dibuka di Bukit Mertajam

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Hujan lebat lebih dua jam petang ini telah menyebabkan beberapa kawasan di Bukit Mertajam mengalami banjir kilat sehingga sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka malam ini.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, hujan lebat sejak pukul 3 petang tadi telah menyebabkan berlaku banjir kilat dan antara kawasan yang terjejas ialah Taman Sukun, Bukit Minyak dan Machang Bubok.

"Berikutan itu, sebuah PPS baharu dibuka iaitu di Dewan Orang Ramai Taman Sukun dan sehingga pukul 7.30 malam ini, seramai 50 orang daripada 11 keluarga telah dipindahkan ke situ," katanya di sini.

Katanya, keadaan banjir di kawasan itu diburukkan lagi dengan limpahan air dari Kulim, Kedah berikutan kawasan tersebut turut dilanda hujan lebat beberapa jam petang tadi.

Menurutnya, seramai 103 mangsa banjir daripada 30 keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tok Suboh dan Tadika Kemas Kampung Manggis.

"Sehingga pukul 8 malam ini, Dewan Orang Ramai PPR Tok Suboh menempatkan 77 orang daripada 23 keluarga, manakala seramai 26 orang daripada tujuh keluarga berada Tadika Kemas Kampung Manggis," katanya.

Phee berkata, pihaknya bersama beberapa agensi lain seperti bomba dan Angkatan Pertahanan Awam sedang memantau serta membuat rondaan di kawasan Bukit Mertajam dan Nibong Tebal kerana bimbang berlaku banjir kilat.

"Selain hujan di kawasan Bukit Mertajam, hujan lebat di Kulim akan turut menyebabkan air banjir naik sangat cepat kerana limpahan serta lintasan air hujan dari sana," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga bertungkus-lumus menguruskan mangsa banjir terutama di PPS termasuk bantuan makanan serta keperluan lain. - Bernama