Hujan, ribut petir diramal pada Deepavali

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan dan ribut petir berlaku di kebanyakan tempat seluruh negara semasa sambutan Deepavali esok.

Menurut kenyataan jabatan itu hari ini, pada sebelah pagi, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat di Pahang, Terengganu, Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Hujan juga turut diramal berlaku pada sebelah pagi di beberapa kawasan di Sabah iaitu di Tawau, Sandakan, Kudat dan Labuan, manakala di Sarawak di kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Sementara pada sebelah petang, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di hampir seluruh semenanjung serta beberapa bahagian di Sabah iaitu di pedalaman, pantai barat, Tawau dan Sandakan.

Kenyataan itu turut memaklumkan, kawasan di Sarawak seperti di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang juga dijangka mengalami ribut petir di satu dua tempat.

Pada sebelah malam pula, hujan dan ribut petir dijangka terus berlaku hampir di seluruh semenanjung serta di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, cuaca diramal baik di Sandakan dan Kudat di Sabah, juga di Kuching, Serian dan Samarahan di Sarawak pada sebelah malam. - Bernama