X

Kindly register in order to view this article
!

Lokasi sampah haram dikesan di Taman Jasmin

Nordin (kiri) menunjukkan sampah haram yang dibuang di Taman Jasmin.
A
A

SEREMBAN – Tanah seluas satu ekar di Taman Jasmin di sini dikesan dijadikan lokasi pembuangan sampah haram dipercayai sejak dua bulan lalu.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Nordin Amat berkata, kegiatan itu dikesan hasil intipan pihaknya selama tiga minggu selepas menerima beberapa aduan awam.

“Ketika serbuan dibuat kelihatan sebuah lori sedang membuang bahan binaan dan terdapat lima lelaki lain berada di situ disyaki penjaga kawasan terbabit.

“Sampah yang dibuang di lokasi itu lebih kepada sisa binaan dan hasil pemantauan, terdapat tujuh buah lori yang keluar masuk di situ setiap minggu untuk membuang sisa pepejal dipercayai dari tapak binaan di Seremban," katanya pada sidang media di lokasi semalam.

Nordin berkata, siasatan awal mendapati terdapat operator yang bertugas di tapak sampah haram berkenaan dan akan memantau pergerakan lori yang keluar masuk.

Menurutnya, sebanyak tiga buah lori dan satu jentera berat yang berada di lokasi telah disita untuk siasatan lanjut.

Selain itu katanya, pemeriksaan dengan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban mendapati tanah terbabit adalah milik persendirian.

“Namun masih belum dapat dipastikan sama ada pemilik tanah membenarkan kegiatan haram itu dilakukan di situ atau sebaliknya.

“Sekalipun pemilik tanah membenarkan kegiatan itu namun ia masih boleh dianggap satu kesalahan dan tindakan undang-undang boleh diambil. Jadi berkuatkuasa serta-merta tapak pelupusan sampah ini disita bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat dan kita akan panggil pemilik tanah untuk beri keterangan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai lapan pesalah sampah haram di negeri ini telah didakwa di mahkamah sejak tahun 2014 selepas didapati melakukan kesalahan mengikut Akta 672 Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

Katanya, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!