39 mayat rakyat China ditemukan dalam lori

Sebuah lori dengan 39 mayat di dalamnya ditemui di timur London semalam - Foto Agensi
A
A

LONDON - Kesemua 39 mayat yang ditemui dalam sebuah lori di Grays, England adalah rakyat China, menurut laporan beberapa media Britain semalam.

Menurut polis Essex, mangsa dipercayai terdiri daripada 31 lelaki dan lapan wanita termasuk seorang remaja.

Lori tersebut kini dipindahkan ke lokasi lebih selamat di Tibury Docks supaya siasatan boleh dilakukan dengan lebih teliti.

Susulan penemuan itu, polis kini masih menjalankan soal siasat terhadap pemandu lori, Mo Robinson, 25, dari Utara Ireland.

Kesemua 39 mayat akan menjalani proses koroner penuh untuk menyiasat punca kematian sebelum pengecaman dimulakan.

Pada awal siasatan, polis memaklumkan lori berkenaan berasal dari Bulgaria, namun pegawai percaya ia sebenarnya masuk ke Britain dari Belgium.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Bulgaria berkata, trak itu didaftarkan di negara terbabit dengan nama sebuah syarikat milik rakyat Ireland.

Semalam, sebuah lori mengandungi 39 mayat ditemui di Taman Perindustrian Waterglade, Eastern Avenue dekat timur London kira-kira jam 1.40 pagi (waktu tempatan) sejurus ia tiba dengan feri dari Zeebrugge, Belgium. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: 39 mayat ditemukan di dalam sebuah lori