Tujuh pengganas disyaki militan maut di Filipina

Gambar hiasan. - Foto Agensi
A
A

MANILA - Seramai tujuh orang disyaki anggota kumpulan militan Daesh terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di selatan Filipina, menurut pegawai tentera.

Insiden tembak menembak yang berlaku semalam bermula apabila pihak berkuasa polis dan tentera menyerbu sebuah rumah milik pengebom, Mama Macalimbol di bandar Midsayap dekat wilayah Cotabato, kira-kira 915 kilometer di selatan Manila.

Jurucakap tentera, Mejar Arvin Encinas memberitahu, Macalimbol dan enam lain yang maut dipercayai anggota puak pemisah Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF) yang telah berikrar taat setia kepada Daesh.

"Pasukan keselamatan menemui pelbagai senjata api berkuasa tinggi di rumah itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Polis Serantau, Brigadier Jeneral Alfred Corpus berkata, Macalimbol adalah lelaki keempat paling dikehendaki di Midsayap dan mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana cubaan membunuh.

BIFF adalah pecahan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan pada tahun 2014.

Puak pemisah itu kemudiannya mengisytiharkan taat setia kepada Daesh dan didakwa bertanggungjawab untuk serangan pengeboman, peras ugut dan kegiatan jenayah lain. - Agensi