[VIDEO] 'Kami tak terlibat mogok di Putrajaya'

Persatuan Pemandu-Pemandu Kontena Selangor (PPPKS) hadir membuat laporan polis di IPD Klang Selatan hari ini.
Persatuan Pemandu-Pemandu Kontena Selangor (PPPKS) hadir membuat laporan polis di IPD Klang Selatan hari ini.
A
A
A

KLANG - Persatuan Pemandu-Pemandu Kontena Selangor (PPPKS) menafikan pihaknya terlibat dalam mogok yang akan diadakan di Putrajaya pada 31 Oktober ini bagi membantah syarat baharu pembaharuan lesen.

Pengerusi PPPKS, Hisham Bakar berkata, rakaman video dan maklumat yang tular di media sosial mengaitkan persatuan itu dengan mogok berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

Menurutnya, PPPKS tidak bersetuju dengan rancangan penganjuran mogok itu kerana ia menjejaskan imej pemandu dan memberi kesan kepada operasi syarikat yang terlibat.

"Bagi kami ia bukan jalan penyelesaian yang sebenarnya. Perkara masih dalam peringkat rundingan, jadi kita gunakan jalan yang betul dan mengikut lunas undang-undang yang ada," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini hari ini.

Hisham mewakili PPPKS menafikan persatuan itu terlibat dalam mogok yang akan diadakan di Putrajaya pada 31 Oktober ini.
Hisham mewakili PPPKS menafikan persatuan itu terlibat dalam mogok yang akan diadakan di Putrajaya pada 31 Oktober ini.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai luahan pemandu lori yang mendakwa ditindas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berikutan syarat baharu pembaharuan lesen yang memerlukan keputusan pemeriksaan kesihatan.

JPJ kemudiannya menafikan dakwaan tersebut dan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, pembaharuan lesen untuk setiap pemandu itu adalah sama seperti prosedur biasa.

Jelasnya, setiap permohonan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) perlu membuat pemeriksaan doktor dan tidak timbul isu berlaku penindasan terhadap pemandu lori.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hisham yang juga Pengerusi Gabungan Persatuan Pemandu Pengangkutan Darat Malaysia (GPPPDM) berkata, pada 13 November depan akan diadakan pertemuan bersama Kementerian Pengangkutan, JPJ dan beberapa agensi berkaitan bagi membincangkan isu berkaitan pemandu lori.

"Jadi itu adalah platform terbaik untuk menyuarakan sebarang permasalahan berkaitan pemandu lori," katanya.