26 warga China ditahan terlibat promosi judi di WeChat, TikTok

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik sindiket perjudian dalam talian yang mempromosi serta menawarkan permainan judi menerusi aplikasi WeChat dan TikTok terbongkar, susulan penahanan 26 warga China di sebuah premis di Seri Kembangan di sini semalam.

Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan Judi/Maksiat/ Gangsterism, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, dalam serbuan kira-kira jam 11 malam itu, 24 lelaki dan dua wanita berusia 16 hingga 42 tahun berkenaan didapati terlibat dalam aktiviti pertaruhan dan promosi judi dalam talian serta loteri awam menggunakan dua aplikasi tersebut.

"Mereka ini memperdayakan kaki judi di China dengan mengatakan peluang untuk menang adalah tinggi dan pelanggan perlu mencuba nasib," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai telah beroperasi selama tiga bulan dan setiap transaksi perjudian hanya menggunakan mata wang Yuan.

"Hasil yang diperoleh adalah antara RM20,000 hingga RM25,000 sehari. Polis merampas pelbagai barangan seperti sembilan set komputer, tiga komputer riba serta 28 telefon bimbit," katanya.

Rohaimi berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - Bernama

Artikel Berkaitan: