ADUN Bersatu lantang bersuara bukti PH lemah: ADUN Sungai Panjang

Mohd Imran
Mohd Imran
A
A
A

SUNGAI BESAR - Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli yang lantang bersuara mengkritik DAP termasuk bersedia meninggalkan Pakatan Harapan (PH) membuktikan gabungan itu lemah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, kenyataan Mohd Shaid itu membuktikan PH tidak sehaluan dalam banyak perkara.

"Kita dapat lihat apa yang berlaku dalam PH terutama di Selangor. Mereka umpama tidur sebantal tapi mimpi berlainan," katanya.

Malah Mohd Imran menegaskan PH sebenarnya belum layak memerintah sesebuah kerajaan.

"Mereka ini tidak bersedia mentadbir negeri dan Pusat...itulah yang berlaku pada ketika ini," katanya.

Bagaimanapun Mohd Imran berkata, tindakan Mohd Shaid itu seharusnya dipuji kerana berani bersuara mengkritik DAP selain bersedia meninggalkan PH.

"Sepatutnya beliau ini dipilih menjadi menteri besar sebab berani dan berprinsip, berbeza dengan menteri besar sedia ada," katanya.

Ujarnya, beliau juga senada dengan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang mengalukan tindakan Mohd Shaid sekiranya ingin keluar PH.

Artikel Berkaitan:

"Kita mengalukan Mohd Shaid sertai pembangkang, tapi bukanlah jadi sebahagian daripada UMNO dan Pas.

"Biarlah (Mohd Shaid) duduk sebagai blok baru pembangkang, kalau nak menyertai UMNO atau Pas kita serah kepada kepimpinan," katanya.