‘Ukur baju di badan sendiri’

Hamidin Mohd Amin -Foto FAM
Hamidin Mohd Amin -Foto FAM
A
A
A

PRESIDEN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin mahu setiap pasukan bersiap sedia dengan perlaksanaan Program Kawalan Ekonomi (ECP) pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Menurutnya, ia sebagai langkah proaktif MFL dalam usaha memastikan masalah kewangan tidak lagi menjadi masalah utama setiap pasukan saingan Liga-M.

“Saya berharap agar semua pasukan bersedia dengan pelaksanaan ECP kerana saya percaya ini antara langkah terbaik dalam menjaga kepentingan semua pasukan dan Liga Malaysia.

“Kita serius membantu pasukan menguruskan kewangan dengan lebih baik supaya masalah hutang yang sebelum ini membelenggu kebanyakan pasukan dapat diatasi bersama,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Bermula musim depan, MFL akan memperkenalkan ECP yang dilihat bakal menjadi formula terbaik buat pasukan Liga-M dalam usaha menangani masalah bebanan hutang khususnya tunggakan pembayaran gaji pemain, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

ECP yang sebelum ini telah dipraktikkan di La Liga Sepanyol mampu mendidik pasukan Liga-M berbelanja lebih berhemah di mana ia bakal diperkenalkan secara berperingkat sebelum pelaksanaan menyeluruh dan lebih ketat pada musim 2021.

Hamidin turut mengingatkan pasukan Liga-M agar mengkaji struktur kewangan sebelum berhasrat menandatangani kontrak pemain baharu selaras pelaksanaan program tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Jadi saya mengingatkan kepada semua pasukan supaya meneliti terlebih dahulu struktur kewangan pasukan sebelum menandatangani kontrak dengan mana-mana pemain dalam perancangan membentuk pasukan bagi musim depan.

“Ini kerana kontrak-kontrak yang ditandatangani hari ini bakal membawa kesan kepada pasukan dalam mematuhi ECP. Jadi saya menasihatkan semua pasukan untuk berhubung dengan MFL jika ada sebarang pertanyaan mengenai ECP selain taklimat yang akan diberikan nanti.

“MFL akan bertegas dalam perlaksanaan ini yang sudah dirancang sejak sekian lama untuk dijadikan asas kepada kestabilan masa depan bola sepak Malaysia seiring dengan perlaksanaan program Next50 MFL,” katanya.

Walaupun menggunakan konsep ECP oleh La Liga, MFL bagaimanapun turut mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada rakan kongsi MFL bagi memastikan ia sesuai dipraktikkan dalam Liga-M.

Sebahagian daripada pasukan iaitu Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Petaling Jaya City FC (PJ City FC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) telah bertemu dengan MFL bagi memberikan pandangan dan maklum balas berkenaan dengan ECP.

Untuk rekod ECP digunapakai oleh La Liga dan di awal pelaksanaannya pada 2012, La Liga sendiri berdepan masalah hutang keseluruhan melebihi €600 juta (RM2.8 billion) termasuk €90 juta (RM422.87 juta) bagi tunggakan gaji pemain.

Dengan pelaksanaan ECP itu, La Liga menghapuskan bebanan hutang pasukan-pasukan bertanding €90 juta (RM422.87 juta) pada 2012 menjadi sifar pada 2017 sekali gus berjaya menyelesaikan masalah kemelut gaji di antara pasukan dan pemain dalam tempoh lima tahun.