Tujuh sekeluarga ditahan edar dadah

501732-1
501732-1
A
A
A

KLANG - Tujuh sekeluarga ditahan selepas dipercayai terbabit sindiket pengedaran dadah bernilai RM118,000 di sebuah rumah di Kapar dalam operasi yang dijalankan pada semalam dan hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kesemua suspek berusia antara 31 hingga 60 tahun itu ditahan bersama dadah yang disimpan di sebuah bilik di rumah itu.

Menurutnya, aktiviti pengedaran dadah itu berselindung di sebalik perniagaan mesin jentera bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

"Suspek terdiri daripada ibu bapa, empat anak lelaki dan seorang menantu warga Myanmar. Mereka ditahan bersama pelbagai dadah termasuk 3,600 biji pil Eramin 5 seberat 1 kilogram (kg), ketamin seberat 1.05 kg dan dadah yang tidak diketahui jenisnya seberat 198 gram.

"Kesemua suspek dipercayai baru memulakan perkhidmatan mesin jentera kira-kira sebulan lalu dan bekerja sebagai pemandu kenderaan berat itu," katanya pada sidang akhbar di Klang hari ini.

Nurulhuda berkata, maklumat awal mendapati bekalan dadah diperoleh dari Kuala Lumpur untuk diedarkan di pusat hiburan dan penagih sekitar Klang dan Kuala Selangor.

"Siasatan diteruskan bagi mengenal pasti akan kemungkinan terdapat ahli keluarga lain turut terbabit dalam sindiket pengedaran dadah itu selain sumber bekalan dadar diperolehi.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula tarikh ditangkap dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Polis turut menyita kenderaan jenis Mitsubishi Triton dan kereta Perodua Myvi serta wang tunai RM500 bagi membantu siasatan.