Perumahan Bandar fasa pertama mula diduduki 15 Oktober lalu: Khalid

Khalid (dua dari kanan) meninjau kemudahan perumahan bandar disediakan DBKL di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini hari ini.
Khalid (dua dari kanan) meninjau kemudahan perumahan bandar disediakan DBKL di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perumahan Bandar di Jalan Tuanku Abdul Rahman bagi golongan belia bujang mula beroperasi sejak 15 Oktober lalu dengan 34 daripada 83 permohonan telah diluluskan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, ia meliputi 14 wanita dan 20 lelaki yang dua daripadanya telah menghuni perumahan itu.

Menurutnya, projek menelan kos RM2 juta itu melibatkan ubah suai dua blok bangunan terbiar melalui dua fasa dengan jumlah keseluruhan melibatkan 311 penyewa.

"Bagi fasa pertama, anggaran jumlah penempatan adalah seramai 188 orang manakala fasa dua adalah seramai 123 penyewa dengan konsep perkongsian antara empat hingga lima katil bagi setiap ruang.

"Bangunan tujuh tingkat itu menyediakan tempat letak motosikal dan basikal di tingkat aras bawah tanah sementara unit orang kurang upaya ditempatkan di tingkat bawah berhampiran pintu utama yang turut disediakan surau, kaunter, dobi, tandas dan bilik mandi, pantri serta lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Perumahan Bandar di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menetapkan tempoh penyewaan minimum selama 12 bulan dan maksimum sehingga 18 bulan dengan kadar sewa RM100 sebulan termasuk bil elektrik serta air.

Artikel Berkaitan:

Fasa pertama projek perumahan bandar siap dengan 34 permohonan telah diluluskan.
Fasa pertama projek perumahan bandar siap dengan 34 permohonan telah diluluskan.

"Perumahan bandar bersifat sementara ini adalah bagi membantu anak muda (berumur 18 hingga 35 tahun) yang baru memasuki dunia pekerjaan untuk satu tempoh sehingga mereka mampu berdikari.

"Keutamaan diberikan kepada mereka yang berasal dari luar Kuala Lumpur dan menetap 25 kilometer dari Perumahan Bandar, tidak memiliki rumah dan kereta dengan pendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan," katanya.

Projek fasa pertama telah siap sepenuhnya, sementara fasa dua pula dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

Sementara itu, pengendali dron, Syed Luqman Syed Abd Lah, 26, berkata, dia bersyukur permohonannya untuk menyewa Perumahan Bandar itu diluluskan oleh DBKL.

"Ia sedikit sebanyak membantu saya berjimat untuk kos sewa bilik dengan kemudahan yang disediakan juga selesa.

"Sebelum ini, saya tinggal di Klang dan ke tempat kerja di Bangsar South menaiki komuter. Selepas ini, tempoh ke tempat kerja akan menjadi lebih singkat serta dekat dengan stesen transit aliran ringan (LRT)," katanya.