Lebih 900kg daun ketum dirampas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GERIK - Polis Gerik menahan tiga lelaki dan merampas 102 bungkusan plastik hitam mengandungi 910 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM14,000, dalam dua serbuan di pekan ini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, dalam serbuan pertama, sepasukan anggota polis menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di tempat letak kereta pada jam 12.30 tengah malam.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kereta itu menemukan 61 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 460kg dan dua lelaki berumur 28, dan 42 tahun dari Kelantan ditahan.

Ismail berkata, dalam serbuan kedua pula, pasukan yang sama menahan sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda di tempat letak kereta yang sama, pada jam 2 pagi tadi.

Katanya, pemeriksaan menemui 41 bungkusan mengandungi daun ketum seberat 450kg dan polis turut menahan seorang penganggur berumur 34 tahun yang berasal dari Kelantan.

Beliau berkata, semua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan daun ketum yang dirampas boleh dibekalkan kepada 10,000 orang. - Bernama

Artikel Berkaitan: