City tak cukup bagus: Guardiola

Pep Guardiola - Foto EPA
Pep Guardiola - Foto EPA
A
A
A

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menyifatkan pemainnya tidak mempamerkan aksi terbaik biarpun berjaya membelasah Atalanta, 5-1 dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Etihad, awal pagi tadi.

Menurutnya, barisan pemainnya gagal mengekang Atalanta terutama pada 30 minit pertama yang menyaksikan kelab Itali itu mendominasi perlawanan.

"Apa yang boleh saya katakan ini bukan prestasi terbaik pasukan. Tolak tepi kejayaan kami menjaringkan lima gol itu dan anda boleh nampak keupayaan Atalanta menguasai permainan.

"Tidaklah mengejutkan Atalanta berjaya mengakhiri liga di tempat ketiga dalam saingan Liga Itali musim lalu. Mereka bermain baik dan kami tahu mereka akan mencipta banyak peluang.

"Mereka juga mengawal pemain kami dengan baik dan kami tidak jangka berdepan Atalanta yang cukup pantas dan bijak mencari ruang untuk melakukan serangan," katanya.

Atalanta terlebih dahulu berada di depan menerusi gol penalti pemain tengahnya, Ruslan Malinovskiy pada minit ke-28 sebelum Aguero tampil dengan dua gol pada minit ke-34 dan ke-38.

Raheem Sterling memastikan kemenangan The Citizen menerusi hatrik pada minit ke-58, 64 dan 69 untuk meletakkan pasukan itu terus menerajui kumpulan C.

Dalam pada itu, Guardiola tetap memuji ketajaman yang ditampilkan barisan serangannya apabila mampu menjaringkan lima gol termasuk mencipta banyak peluang.

Artikel Berkaitan:

Statistik menunjukkan The Citizen merekodkan 15 percubaan ke arah gawang lawan berbanding 13 percubaan yang dilakukan Atalanta.