Ragbi Piala Agong 2019: Pahang ujian sebenar kekuatan PDRM

Aksi pemain import PDRM, Josese Berryman Kurokavu ketika cuba melepasi halangan pemain Pulau Pinang pada saingan Kumpulan B Divisyen Dua ragbi Piala Agong 2019 baru-baru ini. Foto: Wandiyazid M Rosly
Aksi pemain import PDRM, Josese Berryman Kurokavu ketika cuba melepasi halangan pemain Pulau Pinang pada saingan Kumpulan B Divisyen Dua ragbi Piala Agong 2019 baru-baru ini. Foto: Wandiyazid M Rosly
A
A
A

JUARA Kumpulan B Divisyen Dua, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan aksi playoff saingan ragbi Piala Agong 2019 menentang Pahang di Padang A Universiti Putra Malaysia (UPM), Sabtu ini ibarat pertembungan final.

Pengendali PDRM, Mazuri Salehuddin berkata, Pahang adalah lawan sebenar pasukannya selepas pemain-pemainnya mengakhiri saingan peringkat kumpulan dengan cemerlang.

“Saya akui pada saingan peringkat kumpulan pemain-pemain sudah memberikan aksi terbaik mereka. Bahagian serangan pula sememangnya mempamerkan kombinasi penyudah yang mantap.

“Cumanya saya sedikit bimbang kerana bahagian pertahanan PDRM belum diuji sepenuhnya sepanjang saingan peringkat kumpulan. Jadi aksi menentang Pahang ini saya anggap ujian sebenar kepada pemain-pemain PDRM,” katanya.

Untuk rekod, PDRM melabuhkan kempen Kumpulan B Divisyen Dua dengan melakar dua kemenangan apabila menewaskan Perlis 46-8 dan Pulau Pinang 61-12.

Pada masa sama, Mazuri mengingatkan pemain-pemain PDRM tidak memandang mudah keupayaan Pahang yang pernah ditewaskan pada aksi persahabatan beberapa minggu sebelum saingan Piala Agong bermula.

“Pahang dilatih pengendali dan dibarisi pemain-pemain berpengalaman, tambahan pula mereka diperkuatkan empat pemain import dari Fiji yang begitu menyerlah.

“Jadi untuk perlawanan Sabtu ini, saya mahu pemain-pemain PDRM fokus setiap arahan, pada masa sama tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh menyebabkan kita berputih mata,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: