Sukan malam ‘pembunuh senyap’

Aktiviti bersukan yang banyak menggunakan tenaga boleh bertukar menjadi gejala tidak sihat dan membahayakan kesihatan jika tidak diuruskan dengan baik.
A
A

SHAH ALAM – Aktiviti bersukan seperti bermain futsal, beriadah di gimnasium dan bermain badminton pada waktu malam yang kini menjadi gaya hidup warga kota akibat kekangan masa akibat bekerja sebenarnya boleh menjadi ‘pembunuh senyap’.

Ini kerana, tanpa disedari individu berkenaan mungkin boleh diserang penyakit berbahaya seperti tekanan darah tinggi dan masalah jantung.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Zubaidi Ahmad berkata, aktiviti tersebut yang banyak menggunakan tenaga boleh bertukar menjadi gejala tidak sihat dan membahayakan kesihatan jika tidak diuruskan dengan baik.

“Secara purata seseorang menghabiskan lapan jam bekerja sehari dan memerlukan waktu rehat. Aktiviti bersukan selepas bekerja terutama pada waktu malam menyebabkan badan menjadi lesu kerana tubuh dipaksa bekerja keras dan banyak tenaga dikeluarkan.

“Kita memaksa badan untuk bekerja keras dengan aktiviti sukan yang berat dan boleh mengakibatkan tekanan darah kita meningkat naik sekali gus boleh menyebabkan masalah darah tinggi dan jantung.

“Bukan tidak boleh bersukan waktu malam, tetapi biarlah sukan yang ringan serta tidak menggunakan tenaga yang banyak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurut beliau, aktiviti bersukan pada waktu malam juga boleh membuatkan badan seseorang menjadi letih dan mengganggu waktu tidur.

“Bersenam atau melakukan aktiviti sukan berat berat digalakkan pada waktu pagi, mengikut kemampuan serta umur seseorang dan tidaklah keterlaluan.

“Jangan terlalu memaksa tubuh melakukan perkara-perkara yang di luar kemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes kematian mati mengejut ketika bersukan.

Terbaharu, Exco Majlis Belia Jajahan Gua Musang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bermain futsal di Gelanggang Futsal KESEDAR, Gua Musang, malam tadi.

Mohd Khairi Harun, 31, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang 10.10 malam tadi.

Mengulas mengenai perkara itu, Dr Zubaidi berkata, mati mengejut ketika melakukan aktiviti fizikal bukanlah perkara baharu serta perlu diambil perhatian serius dan tidak dipandang remeh.

Katanya, kematian ini sekali gus membuktikan bahawa usia muda bukanlah jaminan seseorang itu selamat daripada risiko mati mengejut ketika melakukan aktiviti riadah.

“Punca utama mati mengejut dalam kalangan masyarakat pertengahan umur dan warga emas yang bersukan adalah disebabkan oleh serangan jantung akibat daripada penyumbatan salur darah koronari jantung.

“Keadaan ini dapat dikenalpasti dengan pemeriksaan doktor dan ujian jantung yang teliti sebelum giat bersukan untuk mencegah kematian di gelanggang sukan,” katanya.

Tambah beliau lagi, kebanyakan masyarakat mengambil ringan pemeriksaan kesihatan sedangkan sebaiknya seseorang itu mengetahui status kesihatan mereka sebelum bersukan.

“Masyarakat kita hari ini terlalu mengambil ringan soal pemeriksaan kesihatan kerana ada yang beranggapan hanya orang berusia sahaja berpenyakit, orang muda tidak.

“Mereka yang bersukan ini kadang-kadang tidak pernah melakukan pemeriksaan kesihatan sebab mereka ingat mereka sihat, muda dan tidak ada penyakit.

“Apabila mereka bersukan yang memerlukan banyak tenaga menyebabkan jantung bekerja dengan lebih kuat serta tidak mampu mengepam lebih baik dan akhirnya terhenti akibat serangan jantung,” katanya.