The Interactive Edutainment Programme dedah gaya hidup sihat

Kon Yeow (kiri) melayani kanak-kanak ketika melakukan salah satu aktiviti dalam The Interactive Edutainment Programme sambil diperhatikan Ivan di Hospital Gleneagles Pulau Pinang.
Kon Yeow (kiri) melayani kanak-kanak ketika melakukan salah satu aktiviti dalam The Interactive Edutainment Programme sambil diperhatikan Ivan di Hospital Gleneagles Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 37 kanak-kanak berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik berhubung kesedaran penjagaan kesihatan anjuran bersama DAP Cawangan Nagore Road dan Hospital Gleneagles Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Ivan Loh berkata, The Interactive Edutainment Programme turut mendapat sokongan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Traffic.

Menurutnya, penjagaan diri dan kesihatan merupakan perkara yang amat penting dan ia perlu didedahkan kepada semua peringkat umur termasuk kanak-kanak.

Kata beliau, program tersebut memberi pendidikan melalui aktiviti hiburan kepada kanak-kanak agar mereka lebih senang untuk memahami kepentingan penjagaan kesihatan.

"Program ini memfokuskan kepada pendidikan kanak-kanak tentang penjagaan kesihatan dan penjagaan diri selain menyediakan pelbagai aktiviti yang boleh menarik minat kanak-kanak untuk mereka lebih mendalami tentang pentingnya penjagaan kesihatan dari segi menjaga kebersihan diri, penjagaan makanan, penjagaan mata, penjagaan luka dan banyak lagi.

"Ini kerana, kanak-kanak ini semakin membesar dan dalam proses pembesaran, mereka terdedah dengan kecederaan. Oleh itu, kemahiran dalam penjagaan kesihatan dan penjagaan diri adalah salah satu perkara paling penting yang perlu ada pada kanak-kanak," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Interactive Edutainment Programme di Hospital Gleneagles, di sini pada Isnin.

Majlis dirasmikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Kata Ivan lagi, Interactive Edutainment Programme juga memberi peluang kepada peserta melawat ambulans di Jabatan Kecemasan Hospital Gleneagles Pulau Pinang untuk memahami lebih lanjut tentang pertolongan cemas.

"Kanak-kanak yang mempunyai pengetahuan sedemikian akan mempunyai pemahaman asas tentang cara menjaga diri dengan lebih baik selain bertindak balas terhadap insiden kecil iaitu dari segi fizikal dan emosi.

"Untuk ibu bapa pula, kita adakan ceramah kesihatan tentang 'Fever In Children' dan pertolongan cemas asas. Pegawai perubatan kami akan berkongsi cara untuk mengendalikan beberapa kecemasan kecil sebelum mendapatkan bantuan perubatan di hospital terdekat," katanya.

Kata beliau, program tersebut merupakan program interaktif pembelajaran pertama yang dianjurkan bersama pihak kerajaan.

"Kami amat terharu dengan sambutan yang diterima daripada ibu bapa dan anak-anak mereka. Selain kanak-kanak, ibu bapa juga boleh mendapat lebih banyak maklumat melalui ceramah kesihatan yang disediakan," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, program ini menggunakan suasana hospital untuk melibatkan ibu bapa dan kanak-kanak melalui aktiviti menarik bagi menyemai pengetahuan yang berguna tentang penjagaan kesihatan.

Menurutnya, dengan penggunaan suasana hospital, ia merupakan satu program yang inovatif dan kreatif kerana ia penuh dengan aktiviti menarik yang disediakan pihak penganjur.

"Hidup sihat perlu dipraktikkan sejak dari usia muda. Saya gembira kerana Hospital Gleneagles Pulau Pinang memainkan peranannya dalam membina masyarakat yang berdaya tahan.

"Dengan penyertaan pada hari ini (Isnin) membuktikan bahawa Pulau Pinang bersedia untuk maju ke hadapan dengan memberi tumpuan kepada 'family-focused' dalam merealisasikan impian kita sebagai sebuah negeri.

"Saya berharap agar kerjasama antara kerajaan negeri dan pihak swasta seperti ini dapat diteruskan pada masa datang malah lebih kerap diadakan kerana ia memberi banyak faedah kepada semua pihak," katanya.