X

Kindly register in order to view this article
!

MPK kompaun 22 individu buang sampah sesuka hati

Orang awam yang didapati membuang sampah dan puntung rokok boleh dikompaun.
A
A

KUANTAN - Seramai 22 individu dikompaun membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM2,200 oleh pihak berkuasa Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) atas kesalahan membuang sampah sesuka hati di Teluk Chempedak di sini.

Pegawai Perhubungan Awam MPK, Norkamawati Kamal berkata, jumlah itu meliputi kesalahan membuang sampah sesuka hati ketika operasi Anti Litter MPK bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Menurutnya, operasi tersebut diadakan di lokasi peranginan tersebut antara 5 Oktober hingga 20 Oktober lalu.

"Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM1,500 kompaun sudah dijelaskan oleh 14 individu manakala bakinya belum bayar.

"Kesalahan membuang sampah sesuka hati atau merata rata ini boleh dikompaun di bawah Seksyen 47 (1)(d) Akta 171 Akta Kerajaan Tempatan dan akan diperluaskan di beberapa lokasi tumpuan umum di bandar ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sementara itu Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid berkata, penguatkuasaan dilaksanakan dengan kaedah turun padang ke lokasi tumpuan dengan berpakaian preman.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan sebenarnya merupakan pilihan dan jalan terakhir dalam mendidik masyarakat agar sama sama menjaga persekitaran yang bersih dan bebas sampah.

"Bukan sahaja di Teluk Chempedak malah kita akan ke lokasi lain seperti bandar, Jalan Gambang dan Kampung Jawa yang menerima banyak rungutan daripada penduduk mengenai isu sampah.

"Mentaliti masyarakat kita masih rendah kesedaran tentang budaya membuang sampah ke dalam tong. Di Teluk Chempedak contohnya, dulu dikatakan kurang tong sampah sekarang walaupun tong sampah banyak disediakan tapi orang rami masih buang sampah dan puntung rokok.

"Kalau kita lihat selepas jam 1 dan 2 pagi, penuh sampah merata rata. Oleh sebab itu inisiatif ini kita terpaksa laksanakan sebagai langkah tegas untuk mendidik masyarakat jangan buang atau tinggal sampah," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus