X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Gangguan bekalan air di selatan Pulau Pinang pulih

Gambar hiasan
A
A

GEORGETOWN - Gangguan bekalan air melibatkan 200,000 pengguna di kawasan selatan Pulau Pinang telah pulih secara berperingkat bermula 10 malam tadi selepas kerja-kerja membaiki saluran paip air 900 milimeter (mm) yang pecah telah selesai.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata, kerja-kerja pembaikan di segmen paip pecah yang dipasang di bawah jalan bersebelahan kompleks perniagaan Pallazia berjaya disiapkan mengikut jadual, dalam tempoh 12 jam.

“Petunjuk prestasi utama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk gangguan bekalan air berjadual melibatkan saluran paip dengan diameter melebihi 600 mm adalah 48 jam.

“Dalam kes ini, pasukan PBAPP memulihkan bekalan air kepada kira-kira 200,000 pengguna dalam masa 12 ke 24 jam. Pencapaian ini berikutan kerja keras dan komitmen berpasukan PBAPP yang berdedikasi bagi meminimumkan kesulitan kepada pengguna air di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jaseni berkata, perkhidmatan bekalan air kepada pengguna di 15 kawasan terjejas dari Jalan Bukit Gambir ke Bayan Lepas termasuk Universiti Sains Malaysia, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Jabatan Pendidikan Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Bukit Jambul, Relau dan Bayan Lepas, pulih secara berperingkat dari 10 malam tadi selepas terjejas selama 12 jam bermula 10 pagi semalam.

Sementara itu, perkhidmatan bekalan air untuk pengguna di Persiaran Kelicap, Gertak Sanggul, Teluk Kumbar dan Bukit Penara di kawasan Balik Pulau pulih pada 10 pagi tadi selepas mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 24 jam.

“PBAPP berterima kasih kepada semua pengguna yang terjejas atas kesabaran, pemahaman dan kerjasama dalam menyimpan air mencukupi untuk kegunaan semasa gangguan bekalan air berlaku,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!