Harga bawang merah turun

Sivanesan (tiga dari kiri) bersama pegawai KPDNHEP mengadakan walkabout sempena SHMMP Deepavali Tahun 2019 di Pasar Awam Buntong hari ini.
Sivanesan (tiga dari kiri) bersama pegawai KPDNHEP mengadakan walkabout sempena SHMMP Deepavali Tahun 2019 di Pasar Awam Buntong hari ini.
A
A
A

IPOH - Harga bawang merah kecil import dari India mengalami penurunan menjelang sambutan perayaan Deepavali hujung minggu ini.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, semakan harga mendapati pada 17 Oktober lalu harga sekilogram adalah RM12 berbanding harga terkini hanya RM7 sekilogram.

Katanya, selain harga bawang merah kecil itu, beberapa harga barangan lain yang termasuk di dalam senarai harga kawalan musim perayaan turut mengalami penurunan seperti ayam hidup RM7.50 sekilogram berbanding RM8 sebelum ini manakala kelapa parut RM7.20 berbanding RM9.

"Kita dapati berlaku penurunan beberapa harga barangan kawalan ini sebanyak 10 hingga 20 peratus berbanding harga pada 17 dan 18 Oktober lalu. Jadi tak ada sebab untuk peniaga untuk naikkan harga.

"Malah kita sudah pastikan semua barang-barang ini tidak akan berkurangan sepanjang tempoh ini. Kalau ada mungkin bawang merah import daripada India kerana di India sendiri berlaku kekurangan bekalan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan walkabout sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali Tahun 2019 di Pasar Awam Buntong hari ini.

Hadir sama pada program itu, Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman dan Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Mohd Zakuan Zakaria.

Dalam perkembangan sama Sivanesan berkata, penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa.

Katanya, perkara itu turut mengambil kira faktor perubahan harga khususnya barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal dan perubahan kadar tukaran mata wang asing.

Artikel Berkaitan:

Mengenai SHMMP Deepavali, Sivanesan berkata, sepanjang dua hari pelaksanaannya di negeri ini tiada sebarang kes dikeluarkan.

Katanya, semua peniaga setakat ini mematuhi arahan yang ditetapkan dengan menjual 19 jenis barangan yang dikawal pada musim perayaan kali ini.

Jelas beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan dan boleh dihukum di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.