'Peruntukan dah lama lulus, arwah pun tahu'

Syed Saddiq ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Syed Saddiq ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terus mempertahankan tindakan beliau mengumumkan peruntukan berjumlah RM4 juta untuk menaik taraf infrastruktur sukan di Tanjung Piai.

Tegas beliau, meskipun hanya baru-baru ini diumumkan, Syed Saddiq menegaskan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik tahu berkenaan peruntukan itu.

“Perkara ini diluluskan lama dah, bukan baru, diluluskan atas permohonan arwah dan perkara ini dah lama dibincangkan.

“Kalau saya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam infra sukan tak boleh meluluskan permohonan yang dah dibincangkan lama apabila arwah masih hidup, jadi saya tak tahu apa lagi saya boleh buat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Tiga hari lepas, Ahli Parlimen Muar itu mengumumkan peruntukan persekutuan RM4 juta untuk menaik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai.

Memetik laporan portal tempatan, Syed Saddiq dilaporkan berkata jumlah itu sebahagian daripada peruntukan RM14.6 juta yang dimohon Allahyarham.

Dalam pada itu ketika ditanya mengapakah peruntukan itu hanya diumumkan sekarang, beliau menegaskan kenyataan itu dibuat bagi menjawab soalan media.

“Sebab media tidak pernah tanya saya dulu dan sekarang media tanya apa pembangunan sukan ada di sini (Tanjung Piai).

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak pergi ke pentas dan umum ini peruntukan baru diluluskan, tidak. Media tanya saya apa pembangunan sukan ada di sini maka saya jawablah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: RM7 juta untuk Tanjung Piai: Kebetulan ada pilihan raya, kata Tun M

PH dilihat mula berubah jadi BN 1.0, kata Annuar


Sinar Harian sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan peruntukan yang diberikan kepada kawasan Tanjung Piai baru-baru ini bukan untuk memancing undi.

Menurutnya, kerajaan hanya menjalankan tugas seperti biasa dan peruntukan diumumkan itu secara kebetulan hampir dengan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.