X

Kindly register in order to view this article
!

PH dilihat mula berubah jadi BN 1.0, kata Annuar

Annuar ditemui media di Parlimen hari ini. - Foto: Sharifudin Abdul Rahim
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mula berubah menjadi kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu apabila mula menggunakan strategi amalan yang sudah ditinggalkan parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa perubahan itu mula dilihat semakin ketara apabila kerajaan PH didapati menyalurkan peruntukan bernilai RM7.6 juta meliputi beberapa kementerian kepada penduduk Parlimen Tanjung Piai menjelang pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan di Parlimen itu pada 16 November ini.

Menurutnya, kerajaan PH kembali mengikut amalan yang sudah ditinggalkan BN dan memungkiri janji manifesto pilihan raya mereka sendiri sebelum ini.

"Saya baca agihan dana (disalurkan kerajaan PH kepada penduduk Parlimen Tanjung Piai), saya rasa gembira kerana PH jadi BN 1.0.

"Mereka sebenarnya kembali mengamalkan strategi tradisional kerajaan BN terdahulu yang sudah lama ditinggalkan. Sekarang PH perlahan-lahan menjadi BN zaman dahulu," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kerajaan PH setakat ini sudah mengumumkan projek bernilai RM7.3 juta dalam masa kurang seminggu menjelang PRK Tanjung Piai, pada bulan depan.

Najib turut menyenaraikan tiga pengumuman projek dibuat pemimpin PH sejak 15 Oktober lalu yang dilihat akan memberi manfaat kepada penduduk Tanjung Piai.

Pengumuman Najib senaraikan itu termasuk pemasangan 264 lampu jalan di jajaran jalan raya luar bandar Tanjung Piai dengan kos RM127,776, dan geran bernilai RM230,000 untuk ketua kampung seperti diumumkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk menaik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai, serta peruntukan RM3 juta untuk menaik taraf tiga jeti nelayan di kawasan itu diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Dalam perkembangan lain, Annuar turut meminta semua pihak tidak memasukkan intonasi perkauman dalam perkara melibatkan kepentingan awam termasuk dalam bidang perniagaan.

Menurutnya, isu larangan Kempen Buy Muslim First( BMF) di kawasan masjid di Perak tidak sewajarnya dibangkitkan kerajaan kerana menyentuh sensitiviti kaum tertentu dan boleh membawa salah faham antara kaum.

"Kalau cuma kempen BMF, itu perkara biasa. Lainlah kalau kempen boikot barangan kaum lain.

"Jangan masukkan intonasi perkauman dalam perkara sedemikian. Sekarang banyak sangat kenyataan membimbangkan dikeluarkan kerajaan dan sepatutnya tiada ruang untuk ekstremisme agama," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus