'Sheffield bernasib baik'

Emery percaya Arsenal lebih layak menang ke atas Sheffield United. - Foto Mirror
A
A

PENGENDALI Arsenal, Unai Emery menyifatkan skuad kendaliannya berhak untuk mencatatkan kemenangan biarpun tewas 0-1 kepada Sheffield United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Dalam aksi di Stadium Bramall Lane itu, Arsenal gagal mencari gol penyamaan selepas ketinggalan pada minit ke-30 menerusi gol penyerang Sheffield, LysMousset pada minit ke-30.

Kata Emery, pemainnya mencipta banyak peluang namun gagal memanfaatkannya selain menyifatkan tuan rumah bernasib baik untuk meraih kemenangan itu.

"Kami tidak seharusnya kalah, malah pada babak pertama kami mampu menyerang dan mendapatkan banyak sepakan penjuru. Tetapi sayangnya, mereka pula yang berjaya menjaringkan gol.

"Namun, kami sebenarnya perlu bersedia dengan jaringan sebegitu dan cuba mencari gol penyamaan. Sebaliknya ia tidak berlaku.

"Kami sepatutnya mendapatkan keputusan yang lebih baik daripada ini. Mereka berjaya mencari gol awal dan kemudiannya bertahan dengan baik dan ia menyukarkan kami untuk menjaringkan gol," katanya.

Menurut Emery, The Gunners tidak bermain buruk dan mampu menguasai 68 peratus perlawanan selain mencipta sembilan peluang ke arah gawang lawan.

"Tiada apa yang silap mengenai pemain saya dalam perlawanan ini. Cuma kami terkesan dengan gol daripada sepakan penjuru Sheffield itu yang sepatutnya tidak berlaku.

"Pemain gagal mengawal penyerang lawan dan memberikan gol mudah itu. Malah, kami juga tidak mendapat penalti ketika Sokratis Papastathopoulos dikasari. Ia sedikit mengecewakan saya," katanya.

Arsenal kini berada di kedudukan kelima EPL dengan memungut 15 mata daripada sembilan perlawanan.