APMM hero samudera

Antara aset APMM yang digunakan untuk mengawal perairan negara. - FOTO ASRIL ASWANDI
Antara aset APMM yang digunakan untuk mengawal perairan negara. - FOTO ASRIL ASWANDI
A
A
A

PUTRAJAYA - [VIDEO] Lebih 4,000 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ibarat hero samudera apabila berdepan tugas berat mengawal perairan negara daripada aktiviti lanun, penyeludupan dan rompakan hasil laut oleh nelayan asing.

Pegawai dan anggota APMM bukan sahaja perlu menyabung nyawa untuk berada di lautan selama berminggu-minggu, bahkan lebih menggerunkan apabila kapal atau bot dibadai gelora besar.

Pengorbanan paling besar tentunya menahan kerinduan terhadap orang tersayang yang terpaksa ditinggalkan di daratan.

Antara tugas besar hero samudera membanteras jenayah rentas sempadan termasuklah kes penyeludupan melibatkan dadah, rokok, arak dan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta kes pencerobohan nelayan asing dan kes bot ali baba.

Menyedari kelicikan penjenayah dan nelayan asing yang modus operandinya sentiasa berubah, APMM turut mengubah strategi dan pendekatan dalam setiap operasi yang dilakukan.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, bersama dengan agensi penguat kuasa lain, pendekatan yang dibuat APMM kini lebih menyeluruh bagi memastikan aktiviti jenayah rentas sempadan yang biasanya didalangi kumpulan sindiket dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.

“Pendekatan yang kita ambil bukan lagi tangkap di laut, siasat dan jatuhkan hukuman.

“Sekarang kita pergi lebih menyeluruh iaitu turut siasat sama ada tangkapan yang dibuat di laut ada hubung kait dengan sindiket di darat khususnya bagi kes penyeludupan rokok, dadah dan PATI,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama kru Sinar Siasat di sini baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, APMM sekarang juga telah mula melakukan tangkapan suspek di darat contohnya baru-baru ini tangkapan dilakukan di Melaka.

“Mana-mana suspek atau PATI yang kita tangkap, kita soal siasat seorang demi seorang dan tanya siapa bawa mereka masuk, macam mana mereka masuk, bayar berapa, siapa yang aturkan kereta dan sebagainya.

"Kita juga sudah banyak melakukan tangkapan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (APTISOM) (Akta 670) iaitu tangkapan dibuat di darat,” katanya.

Diganggu tonto

Dalam melaksanakan operasi bagi membendung jenayah rentas sempadan juga, beliau mengakui APMM tidak terkecuali daripada diganggu tonto yang menjadi mata dan telinga kepada sang penjenayah.Bagaimanapun, Mohd Zubil menegaskan, tonto bukanlah alasan untuk APMM terus komited menjalankan amanah kerana banyak cara boleh dilakukan untuk menangani perkara tersebut.

“Tonto ini biasanya orang tempatan yang ada hubungan dengan sindiket, mereka awasi pergerakan bot APMM di jeti. Kita mesti fikir jauh ke depan daripada mereka.

“Bagi saya, APMM perlu lebih pintar daripada tonto. Kita kata kita sebuah agensi dan pegawai-pegawai pula berkelulusan tinggi seperti pemegang ijazah dan sebagainya, jadi takkan dengan tonto pun kita boleh kena tipu,” katanya.

Mohd Zubil berkata, selepas 14 tahun penubuhan APMM, statistik tangkapan bagi pihak APMM berkurangan menunjukkan keberkesanan penguatkuasaan dilakukan agensi tersebut.

“Meskipun begitu pencerobohan bot nelayan Vietnam ke perairan Malaysia khasnya di pantai timur diakui masih belum dapat disekat sepenuhnya.

“Bagaimanapun, setakat ini isu berkenaan masih boleh dikawal kerana APMM telah melaksanakan Ops Naga khususnya dari bulan April lalu, kita dah buat tangkapan Ops Naga keseluruhan berjumlah 132 kes,” katanya.



Penguatkuasa APMM mempertingkatkan pemeriksaan ke atas bot tempatan yang menggaji warga asing di perairan negara. - FOTO ASRIL ASWANDI
Penguatkuasa APMM mempertingkatkan pemeriksaan ke atas bot tempatan yang menggaji warga asing di perairan negara. - FOTO ASRIL ASWANDI