KDN tunggu keputusan KPM sebelum putus pengharaman komik propaganda

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman di Parlimen hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman di Parlimen hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menunggu keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum memutuskan pengharaman pengedaran komik propaganda kontroversi bertajuk ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama’.

Timbalan Menteri KDN, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan menguatkuasakan undang-undang pengharaman pengedaran komik propaganda itu sekiranya disahkan menyalahi undang-undang.

Menurutnya, KDN masih tidak tahu mengenai keputusan KPM mengenai isu itu, ditambah tindakan penafian daripada DAP bahawa parti itu terbabit membantu pengedaran komik itu ke sekolah-sekolah secara senyap-senyap.

"Tetapi apa yang saya pasti dari segi penyebaran (komik propaganda) itu saya rasa tidak eloklah bila sebar di sekolah dengan gambar macam itu.

"Apapun, kita tunggu keputusan dari KPM dan apa pandangan mereka. Di peringkat KDN, setakat ini saya masih tidak dapat apa gambaran atau arahan sama ada diharamkan (atau tidak), saya tidak tahu dan kena tunggu," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan komik bertajuk ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama’ dipercayai diedarkan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, komik berkenaan yang didakwa menyebarkan propaganda komunis dan DAP diedarkan secara percuma di sekolah.

Kurator Muzium Kebudayaan dan komik Asia yang berpangkalan di Pulau Pinang, Hew Kuan Yau berkata, komik berkenaan diterbitkan secara sah dan didaftarkan dengan ISBN (International Standard Book Number).

Artikel Berkaitan:

Komik berkenaan diterbitkan hasil kerjasama antara Kuan Yau yang lebih dikenali dengan gelaran 'Superman' dengan artis tempatan Chong Po Ling.

Kuan Yau mengesahkan komik berkenaan dalam versi bahasa Melayu dihantar ke perpustakaan di sekolah-sekolah menengah dan sekolah jenis kebangsaan secara percuma.

Buku itu telah disampaikan kepada pemimpin-pemimpin tertinggi China seperti Presiden China, Xi Jinping oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada bulan April tahun ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan laporan awal oleh bahagian keselamatan kementerian itu mendapati terdapat perkara yang tidak betul dalam komik berkenaan, sekali gus wajar untuk tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang menerbit dan mengedarkan komik tersebut.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mempertahankan arahan kementeriannya agar mana-mana sekolah tidak menerima dan membuat edaran buku komik 'Inisiatif Jalur dan Laluan' (BRI) di sekolah-sekolah.

Katanya, apa-apa buku atau bahan bersifat propaganda yang mahu diedarkan ke sekolah perlu melalui KDN kerana semua bahan bercetak tertakluk pada undang-undang percetakan.