Perlis pecat 25 imam, ini penjelasan Dr Asri...

Antara surat pemecatan yang tular sejak semalam.
Antara surat pemecatan yang tular sejak semalam.
A
A
A

KANGAR - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan semua pihak agar tidak membuat andaian berhubung isu pemecatan 25 imam kariah masjid di negeri itu.

Menurutnya, adalah lebih baik mendapatkan maklumat yang sahih berhubung pemecatan itu agar tidak terjerumus dalam kancah fitnah.

Katanya, urusan perlantikan imam serta penyambungan elaun adalah terletak bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

“JAIPs pula tidak mempunyai kuasa penuh melantik atau tidak sambung kontrak jawatankuasa kariah masjid melainkan dengan kelulusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang secara tidak langsung diletak bawah Istana Perlis,” katanya, menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.

Dr Mohd Asri berkata, hanya dengan titah dan perkenan istana sahaja hal berkaitan pelantikan dan pemecatan imam boleh dilakukan.

“Segala ulasan yang melampau berada di bawah undang-undang ini,” katanya.

Menurutnya, sebelum dipengaruhi oleh ulasan kumpulan politik tertentu, adalah lebih elok sekiranya rujuk maklumat sahih supaya tidak berlaku fitnah sesama muslim.

Dr Mohd Asri turut mempersoal dakwaan sesetengah pihak bahawa kesemua imam yang dipecat tidak mengikut arahan dikeluarkan oleh JAIPs.

Artikel Berkaitan:

“Benarkah JAIPs memecat beberapa imam kerana mereka baca qunut dan baca bismillah dengan kuat dalam solat? Atau mereka sudah sampai tahap umur? Atau gunakan masjid untuk mainan politik kepartian? Atau kerana ‘ponteng’ tugas ambil elaun? Atau menjadikan masjid markas parti atau ada masalah lain?,” katanya.

Malah beliau turut membangkitkan persoalan, kenapa ada imam yang benar-benar mengikut garis panduan MAIPs turut ditamatkan perkhidmatan.

Susulan itu, Dr Mohd Asri akan mengulas persoalan itu secara lebih lanjut dalam kuliah khas malam ini di Masjid Alwi, Kangar.

Terdahulu, tular surat pemecatan 25 imam kariah sekitar Perlis, manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan berkuatkuasa Selasa lalu.

Surat bertarikh 31 Disember 2018 itu dikeluarkan oleh JAIPs, tanpa menyatakan sebab pemecatan bermula pada 1 Januari 2019, malah tiada nombor rujukan pada kurungan bahagian atas surat.

Antara imam yang dipecat adalah dari Masjid Batu 2, Masjid Kampung Guar Syed Alwi, Masjid Jalan Santan, Masjid Telok Jambu dan Masjid Padang Katong.