PRK Tanjung Piai: Bersatu akui tidak selesa, kata Rina Harun

Rina
Rina
A
A
A

PUTRAJAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakui tidak berada dalam keadaan selesa untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai biarpun kerusi itu sebelum ini milik parti berkenaan.

Ketua Srikandinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, ini kerana PRK Tanjung Piai dijangka sengit.

"Kita akui sengit dan tidak selesa tetapi tetap yakin kemenangan akan berpihak kepada PH (Pakatan Harapan)," katanya.

Menurutnya, tinjauan terhadap pengundi wanita mendapati mereka masih bersama PH.

"Isu-isu berbangkit membabitkan DAP khususnya sudah ditangani oleh pucuk pimpinan termasuk oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Beliau berkata, Srikandi memberi fokus membantu calon untuk mengalahkan pembangkang.

"Jentera Srikandi sudah bergerak lebih awal di peringkat akar umbi dalam memastikan calon PH mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan," katanya kepada pemberita semasa membuat tinjauan pada hari terakhir Karnival Usahawan Desa (KUD) di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Pemberian geran tiada kaitan dengan PRK Tanjung Piai'

Artikel Berkaitan:

KUD berlangsung selama lima hari bermula Khamis lalu menampilkan 1,000 pempamer di seluruh negara.

Sementara itu, Rina berkata, Srikandi telah menghantar empat nama calon wanita daripada anak tempatan.

"Kita telah hantar (senarai nama bakal calon) untuk dipertimbangkan," katanya.

PRK Tanjung Piai dijadual berlangsung pada 16 November depan berikutan kematian penyandang kerusinya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.