Sindiket dapat komisen RM10,000 jual kereta mewah curi

Noorzainy (tiga dari kiri) menunjukkan barang yang berjaya dirampas daripada sindiket berkenaan.
Noorzainy (tiga dari kiri) menunjukkan barang yang berjaya dirampas daripada sindiket berkenaan.
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis menumpaskan sindiket pecah rumah dan curi kenderaan mewah yang dikenali sebagai geng Ah Chew selepas menahan dua lelaki dan seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bertam Ria di sini Jumaat lalu.

Sindiket yang aktif melakukan jenayah berkenaan sejak November tahun lalu dikatakan menyasarkan kenderaan jenis Toyota Velfire, Toyota Harrier, Toyota Hilux dan BMW dan dicuri ketika mereka melakukan jenayah pecah rumah.

Difahamkan kesemua kenderaan mewah itu diseludup ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam dan dijual di pasaran gelap di negara berkenaan.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sindiket terbabit akan memperoleh komisen sebanyak RM10,000 untuk setiap kenderaan mewah yang berjaya dijual.

Menurutnya, hasil siasatan yang dibuat mendapati sindiket yang mempunyai rangkaian di Thailand telah menjual 17 buah kenderaan mewah di negara itu sebelum ini dan mempunyai beberapa lagi buah kenderaan yang dalam proses untuk dihantar.

Noorzainy (tengah) memeriksa salah sebuah kenderaan yang dirampas.
Noorzainy (tengah) memeriksa salah sebuah kenderaan yang dirampas.

"Ketika serbuan polis menemui pelbagai barangan yang dipercayai hasil daripada kegiatan pecah rumah seperti beg, beberapa utas jam tangan berjenama, televisyen, komputer riba, sistem audio selain peralatan pecah rumah dan mencuri kenderaan.

"Turut ditemukan beberapa cop palsu Imigresen Malaysia yang dipercayai digunakan untuk memalsukan dokumen bagi memudahkan sindiket berkenaan membawa keluar kenderaan yang dicuri,"katanya pada sidang media di sini.

Artikel Berkaitan:

Noorzainy berkata, pihaknya turut merampas empat buah kereta jenis BMW, Toyota Civiv, Toyota Mark dan Proton Saga yang sebelum ini dilaporkan hilang.

Katanya, semakan yang dibuat mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau termasuk dalang kumpulan berkenaan dikenali sebagai Ah Chew yang mempunyai 22 rekod jenayah termasuk pernah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) sebelum ini.

Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

"Dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek berkenaan kita percaya dapat menyelesaikan empat kes pecah rumah dan curi kenderaan yang berlaku di daerah ini.

"Mereka yang berusia di antara 26 hingga 39 tahun kini direman selama tujuh hari untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 379A, Seksyen 411 dan Seksyen 29 (1) Kanun Keseksaan," katanya.