Dokumen palsu guna kepala surat Istana Johor dirampas

Dzulkhairi (dua dari kiri) menunjukkan dokumen palsu dengan kepala surat Istana Johor pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini hari ini.
Dzulkhairi (dua dari kiri) menunjukkan dokumen palsu dengan kepala surat Istana Johor pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kepala surat dari Istana Johor antara dokumen palsu ditemui selepas tiga suspek termasuk seorang wanita ditahan yang dipercayai terbabit dalam kegiatan sindiket pinjaman wang tidak wujud sejak setahun lalu.

Difahamkan dokumen palsu itu dipercayai digunakan ketiga-tiga suspek bagi mendapatkan kepercayaan mangsa berhubung kaedah pinjaman wang yang mahu ditawarkan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kegiatan berkenaan berjaya dikesan selepas polis menerima satu laporan daripada salah seorang mangsa yang mendakwa dirinya kerugian kira-kira RM49,000 untuk membayar wang proses pinjamannya.

"Polis menerima laporan ini pada 16 Oktober lalu, mangsa berusia 40 tahun itu memaklumkan dirinya telah ditipu oleh seorang individu yang mendakwa dirinya adalah seorang agen pinjaman sah daripada sebuah bank konvensional di negara ini.

"Pengadu pada mulanya berminat untuk membuat pinjaman bernilai RM120,000 tetapi telah diminta menyerahkan sejumlah wang terlebih dahulu dikatakan untuk membayar wang proses dan membuka akaun.

"Mangsa kemudiannya memasukkan wang berjumlah RM49,078 secara berperingkat ke dalam tiga akaun bank berasingan sebelum menyedari dirinya telah ditipu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, dalam urusan permohonan pinjaman itu, mangsa telah diberikan beberapa dokumen termasuk gambar cek lengkap dengan nama mangsa dan surat sokongan pinjaman daripada Istana Johor.

Katanya, hasil risikan dan siasatan kemudiannya membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 26 tahun yang mana kemudiannya membawa kepada serbuan ke sebuah rumah di Taman Damai Jaya, Skudai pada 17 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

"Polis kemudiannya menahan seorang lagi lelaki dan seorang perempuan masing-masingnya berusia 28 dan 22 tahun kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan sama. Pemeriksaan dalam kediaman itu kemudiannya menemui tiga telefon bimbit dan dua kad ATM.

"Polis juga menemui satu dokumen dengan kepala surat daripada Istana Johor 46 dokumen permohonan, empat cek dan dengan kepala surat bank konvensional tersebut serta cop getah untuk kegiatan pemalsuan," katanya.

Beliau berkata, polis percaya kegiatan haram dijalankan kumpulan ini sudah aktif sejak setahun lalu namun keengganan mangsa untuk membuat laporan menyukarkan tugas bagi mengesan suspek.

Jelasnya, suspek juga dipercayai menggunakan modus operandi sebagai pemandu kenderaan e-hailing bagi mendapatkan mangsa terbaik untuk melakukan penipuan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.