Kongsi petua capai kejayaan bantu anak muda menganggur

Gambar hiasan
A
A

SANDAKAN - Usahawan berjaya diharap dapat berkongsi petua kejayaan dalam perniagaan kepada masyarakat lain terutama golongan muda yang masih menganggur.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Arunarnsin Taib berkata, usaha baik itu dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.

"Berniaga adalah kerjaya yang baik jika seseorang itu tidak berjaya mendapatkan pekerjaan. Kita tahu pekerjaan yang ada sangat terhad, namun pemohon ramai dan jika gagal dalam memohon pekerjaan akhirnya terpaksa menganggur lagi," katanya pada Majlis Anugerah Usahawan Sandakan di sini malam tadi.

Lebih 1,000 usahawan menghadiri majlis itu yang julung kali dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Usahawan Sabah (Sabah Entrepreneurs Chamber of Commerce) (DPUS), Dewan Perniagaan dan Pembangunan Usahawan Sandakan (Sandakan Bumiputera Business and Entrepeneur Development Chamber) dan Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Sabah (Sabah Women’s Small and Medium Industries Association) (IKSNITA).

Pada majlis itu seramai empat usahawan tempatan Sandakan menerima anugerah usahawan cemerlang dan 31 usahawan menerima anugerah usahawan harapan selain anugerah khas kepada lima penerima, termasuk Presiden DPUS, Anita Mohammed dan Presiden IKSNITA Sabah, Datuk Dayang Haja Khatijah Datu Bachtiyal.

Sempena majlis anugerah itu juga DPUS menandatangani Sijil Kolaborasi dengan Kolej Komuniti Sandakan dan Home Chef Kongsi Resepi (HCKR) untuk menawarkan kursus keusahawanan jangka pendek dalam bidang masakan, yang dikendalikan oleh pengasas HCKR chef Sukiman Paiman. - Bernama