Maksud tersirat mandi 3 minit

No Image Caption
A
A
A

Amalan mandi tiga minit untuk menjimatkan air bagi menyelamatkan alam sekitar kelihatan mustahil untuk dilakukan kerana setiap orang keperluannya berbeza-beza.

Seperti yang dinyatakan Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman, adalah tidak logik untuk mandi tiga minit bagi orang yang bekerja di ladang, kebun atau buruh semata-mata untuk menjaga alam sekitar.

Tetapi kata Meor Razak, saranan pakar gaya hidup lestari, Datuk Seri Zaini Ujang itu perlu dilihat dalam bentuk tersirat bahawa mesej sebenar adalah untuk mengingatkan rakyat Malaysia supaya berhemah dalam menggunakan air.

Malah Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman ketika berucap semasa kempen jimat air Be A Water Conservation Warrior kelmarin berkata, penggunaan air di negara ini adalah tinggi, jika dibandingkan dengan negara-negara jiran.

Di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sahaja, penggunaan air dilaporkan sebanyak 222 liter sehari bagi setiap orang, yang mana lebih 30 peratus daripada 165 liter yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Katanya, Singapura menepati angka yang disyorkan oleh WHO iaitu 165 liter per kapita sehari, manakala Thailand mencatatkan penggunaan air sebanyak 193 liter per kapita sehari.

“Sejajar dengan sasaran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mengurangkan penggunaan air per kapita kepada 180 liter menjelang akhir 2020, kita menyasarkan 217 liter perkapita sehari dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Penurunan lima liter air itu mungkin tidak banyak tetapi ia memberi impak besar. Ia sukar untuk dicapai tanpa kesedaran terhadap penjimatan air dalam kalangan masyarakat mengenai nilai air dan rasa tanggungjawab terhadap penggunaan air secara bijak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bersama-samalah kita menyokong kempen jimat air seperti yang digerakkan Air Selangor mahupun NGO alam sekitar lain kerana tanpa sokongan semua rakyat Malaysia ia tidak akan berjaya.

Lihatlah kepayahan yang dialami 785 juta rakyat lain di dunia yang tidak mendapat akses kepada air bersih berbanding dengan kita yang begitu mudah memperolehinya hingga ia disia-siakan.