Pecat pengkhianat UMNO minggu depan: Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi kuasa kepada Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk menyingkirkan pengkhianat dalam parti di peringkat Wilayah Persekutuan, minggu depan.

Ahmad Zahid ketika berucap sempena Konvensyen UMNO Peringkat Wilayah Persekutuan menegaskan supaya Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan perlu mengambil tindakan menyingkirkan nama-nama terbabit.

Menurutnya, walaupun beliau sedia maklum nama pengkhianat terlibat, namun keputusan mengenai perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada Johari untuk bertindak tegas melibatkan ahli-ahli di bawahnya.

"Bagi nama (pengkhianat) walaupun saya tahu nama itu tetapi saya mahu saranan rasmi daripada Pengerusi Badan Perhubungan Wilayah Persekutuan bahawa orang ini tidak harus berada bersama dengan kita lagi," katanya dalam ucapan perasmiannya di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau berkata, mandat untuk memecat keanggotaan bukan sahaja boleh diputuskan di peringkat Pusat, malah boleh dibuat oleh kepimpinan di peringkat negeri di samping menyarankan Johari mengadakan mini konvensyen dan memecat mana-mana ahli yang menjadi musuh dalam selimut kepada parti.

“Ketika ghanimah (ganjaran), mereka datang seperti semut datang pada gula. Sekarang ini kita tidak ada gula lagi.

“Bila kita senang mereka tidak tolong kita pun. Masa kita susah, orang itulah yang lari dulu,” katanya.

Beliau dalam ucapan sama turut menyebut mengenai individu tertentu yang menyertai parti demi kepentingan peribadi, namun meninggalkan perjuangan parti selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada PRU14 lalu.

“Saya bertemu salah seorang itu di lobi Parlimen. Orang itu keluarganya, rezekinya, Ku Nan (bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) bagi.

“Saya tanya orang itu, apa Ku Nan tak tolong dia dalam bahagian? Makan pakai dia, kedudukan dia dalam politik, bisnes semua dapat. Sekarang ni apa dia buat? Dia ‘kencing’ Ku Nan. Inilah nasib Ku Nan," katanya.

Dalam masa sama, Zahid turut mengingatkan semua parti komponen BN agar berubah dan tidak lagi menggunakan acuan yang sama.

Beliau tidak menolak kemungkinan PWTC menjadi 'muzium' UMNO sekiranya pendekatan lama masih digunakan dalam berdepan perubahan landskap politik negara.

“Kalau kita tidak mahu lihat UMNO dimuziumkan, maka ketika kita ditempelak, ketika kita jadi pembangkang, kita harus bangkit,” katanya.