Macau Scam tak kenal mangsa

Mohamad (tengah) pada sidang akhbar selepas Program Town Hall Discussion hari ini.
Mohamad (tengah) pada sidang akhbar selepas Program Town Hall Discussion hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan kini memberi keutamaan kepada sindiket penipuan Macau Scam berikutan laporan berhubung kes itu meningkat dari semasa ke semasa.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, justeru kesedaran masyarakat penting selain penerangan sama ada dari peringkat negeri dan daerah berhubung kes itu supaya tiada lagi yang mangsa.

"Jabatan Siasatan Jenayah Komersial kini menumpukan perhatian terhadap isu-isu scammer. Jadi pihak media tolong sebarkan kepada masyarakat supaya berhati-hati dengan panggilan telefon daripada orang menyamar dan sebagainya.

"Jadi kesedaran masyarakat amat penting dan kita sentiasa memberi penerangan sama ada di peringkat negeri dan daerah berhubung kes ini agar tiada lagi yang menjadi mangsa," katanya pada sidang akhbar selepas Program Town Hall Discussion di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya Mohamad berkata, golongan profesional tidak terkecuali menjadi sasaran ahli sindiket penipuan termasuk peguam dan doktor.

"Walaupun kes penipuan ini tidak mengancam nyawa tetapi melibatkan kerugian yang tinggi kepada mangsa," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung kes samun bersenjata di kedai pengurup wang di sebuah pusat membeli-belah di Port Dickson Isnin lalu, Mohamad berkata, setakat ini tiada tangkapan baharu dibuat.

Pada Rabu lepas tiga suspek berjaya ditahan manakala tiga lagi diburu polis melibatkan kes samun itu yang menyebabkan kerugian lebih RM50,000.

Artikel Berkaitan: