SK Seri Terentang bawa robot ke luar negara

Pasukan robotik Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Terentang mewakili negara pada The Maker Robot Festival In Ulsan di Bandaraya Ulsan Korea.
Pasukan robotik Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Terentang mewakili negara pada The Maker Robot Festival In Ulsan di Bandaraya Ulsan Korea.
A
A
A

KUANTAN - Lima murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Terentang, Pekan bakal mengharumkan nama negara selepas terpilih menjadi wakil negara pada program The Maker Robot Festival In Ulsan di Bandaraya Ulsan Korea Selatan pada 19 hingga 21 Oktober ini.

Mereka yang akan bersaing dalam kategori Sumobot itu ialah Muhammad Imran Mazlan,10, Muhammad Baqir Borhan,12, Muhammad Danish Fawwaz Mohamad,11, Nurul Iman Mazlan,11 dan Nur Ishamina Amni Mohd Imeran,10.

Guru penasihat, Mazlan Muhamad Yusof berkata, ini adalah penyertaan kali pertama sekolah berkenaan di peringkat antarabangsa selepas dua tahun aktif dalam bidang robotik.

Menurutnya, meskipun tidak mempunyai pengalaman luas namun semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan murid itu mungkin mampu mencapai kejayaan pada negara ini.

"Kita sudah membuat persiapan dan murid juga telah mengikuti latihan antara dua hingga tiga jam sehari selepas waktu sekolah.

"Latihan ini sebagai salah satu usaha menambahkan kemahiran menghadapi saingan bertaraf antarabangsa itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mazlan berkata, selain sekolahnya, SK Presint 13 Putrajaya, Selangor juga terpilih mewakili negara pada festival berkenaan yang menghimpunkan sebanyak 30 pasukan dari lima negara iaitu Malaysia, Filipina, Cina, Jepun dan Korea.

"Pasukan SK Seri Terentang banyak mencatat kejayaan sama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Sokongan daripada ibu bapa murid dan penaja Telaga Biru Sdn Bhd menjadi pencetus kepada pencapaian membanggakan SK Seri Terentang pada pertandingan robotik dalam tempoh dua tahun," katanya.

Mazlan berkata, kemahiran murid menghasilkan robot yang mampu melakukan pelbagai aktiviti dianggap begitu istimewa yang tidak ada pada murid sekolah lain di daerah ini.

Sementara itu, wakil kumpulan itu, Muhammad Baqir berkata, penyertaan pada pertandingan di Korea diharap berakhir dengan kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa.

"Saya harap robot yang saya hasilkan mampu memberi cabaran dalam kategori Sumobot, kekuatan menjadi kelebihan pada setiap robot," katanya.