Banjir kilat: JPS cadang KTMB bina benteng

Keadaan persekitaran stesen kereta api KTM Sungai Gadut yang dilanda banjir.
Keadaan persekitaran stesen kereta api KTM Sungai Gadut yang dilanda banjir.
A
A
A

PORT DICKSON - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri telah mencadangkan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) supaya membina benteng atau ban di Sungai Simin bagi mengelakkan banjir di Stesen KTM Sungai Gadut di sini seperti yang berlaku Khamis lepas.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia bagi memastikan air dari sungai berkenaan tidak melimpah masuk ke kawasan itu yang sebelum ini telah menenggelamkan beberapa buah kenderaan yang diparkir.

“Ia telah disampaikan kepada pihak KTM untuk disegerakan dan tindakan itu terpulang kepada pihak mereka. Jadi kita di pihak kerajaan negeri, kita telah arahkan JPS untuk terus membersihkan kawasan-kawasan sungai tersebut supaya tidak berulang kejadian tersebut.

“Itu yang harus kita lihat dan kalau air terlampau banyak, kita tak boleh buat apa lagi. Kerajaan negeri akan pastikan saliran itu baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pengkalan Kempas di sini hari ini.

Pada Khamis lepas, hujan lebat yang berlaku pada sebelah petang menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Sungai Gadut dekat sini dilanda banjir kilat sedalam 1.2 hingga 1.5 meter termasuk di Stesen KTM Sungai Gadut dan Kawasan Perindustrian Senawang.

Sementara itu, Aminuddin yang ditanya mengenai cadangan supaya kawasan parkir kenderaan di kawasan berkenaan dibina secara bertingkat berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan tersebut.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi Mohamad Taufek Abd Ghani dilapor sebagai berkata, kerajaan Negeri Sembilan akan mempertimbangkan cadangan membina parkir bertingkat di Stesen Komuter KTM Sungai Gadut di sini, sebagai langkah mengatasi masalah kenderaan ditenggelami air akibat banjir kilat.

Mohamad Taufek berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbang dan mengkaji pembinaan parkir bertingkat itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: