Budak cedera di AS diserang tiga ekor anjing

Seorang budak perempuan dari Amerika Syarikat mengalami kecederaan teruk selepas diserang tiga ekor anjing yang terlepas dari tempat perlindungan haiwan. - Foto Agensi
A
A

OKLAHOMA - [DIKEMASKINI] Seorang kanak-kanak perempuan di Amerika Syarikat nyaris menemui ajal apabila diserang tiga ekor anjing yang terlepas dari sebuah tempat perlindungan haiwan.

Insiden membabitkan mangsa berusia 9 tahun itu berlaku di pinggir Oklahoma pada Selasa lalu.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan turun dari basikal ditunggangnya untuk mengutip batu berhampiran rumahnya di Wanette.

Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke hospital dan menerima puluhan jahitan.

Lapor media tempatan, anjing-anjing berkenaan adalah penghuni di Forgotten Treasures Animal Rescue sebelum ia terlepas dan merayau di kawasan perumahan berhampiran.

"Ini adalah tragedi yang menyayat hati. Kami akan memfailkan aduan serangan kepada peguam Daerah dan terpulang kepada mereka sama ada mahu membuka kertas pertuduhan," kata Timbalan Sheriff Pottawatomie County, Mike Booth.

Sementara itu, jurucakap Forgotten Treasures Animal Rescue dalam satu kenyataan berkata, ketiga-tiga anjing tersebut akan dimatikan menggunakan suntikan beracun. - Agensi