Penyelewengan di sempadan: 10 pegawai, 33 anggota dikenakan tindakan

Abdul Hamid mengibarkan jalur gemilang sebagai gimik merasmikan Majlis Pelepasan Konvoi Ride Bersekutu Vol 4 2019 (RBV#4) di Dataran Puncak Alam, Kuala Selangor hari ini, dengan disaksikan Rozali (dua dari kanan).
A
A

KUALA SELANGOR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan terhadap 10 pegawai kanan dan 33 anggota pelbagai pangkat yang terlibat dalam penyelewengan di sempadan negara sejak tahun 2014.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan drastik itu diambil oleh pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dengan memantau aktiviti penguatkuasaan petugas khususnya Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurutnya, pegawai dan anggota dikenakan tindakan tatatertib, ditahan kenaikan pangkat dan gaji selain denda dan menempatkan mereka di pos untuk jangka masa tertentu sebagai proses pemulihan kaunseling.

"Ada juga kes yang tidak boleh didakwa di mahkamah atas faktor teknikal tapi kita tetap serius mengambil tindakan terutama secara dalaman.

"Selain itu kita juga ada beberapa cadangan dan saya telah berurusan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan anggota polis terhindar daripada kegiatan penyelewengan.

"Kita akan menempatkan pegawai di pusat kawalan yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) selain dilengkapkan elemen polis, MKN, Agensi Kawalan Sempadan (Aksem)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelepasan Konvoi Ride Bersekutu Vol 4 2019 (RBV#4) di Dataran Puncak Alam, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad merangkap Penaung dan Penasihat Gabungan Kelab-Kelab Permotoran Malaysia, Tan Sri Rozali Ismail; Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya, Khairul Anwar Bachok.

Program berkenaan membabitkan kira-kira 1,000 motosikal berkuasa tinggi yang mempromosikan kempen keselamatan jalan raya.

Abdul Hamid menegaskan pegawai yang bermasalah di jabatan mereka tidak perlu ditukarkan serta-merta kerana penyelesaian perlu dilakukan di peringkat jabatan berkenaan.

"Saya dapati amalan menukarkan pegawai dan anggota bermasalah dari unit lain ke PGA misalnya adalah sesuatu yang tidak baik seolah-olah menyapu sampah di bawah karpet. Sekiranya bermasalah, ia mesti diselesaikan di jabatan itu.

"Ini bagi memastikan mereka yang bermasalah tidak mempengaruhi warga kerja di PGA," katanya.

Tambahnya, selain itu, seramai 29 pegawai dan anggota PGA berjaya mematahkan cubaan menerima rasuah yang bernilai RM86,000.

Katanya lagi, perbincangan sudah dilakukan bersama Kerajaan Persekutan bagi meningkatkan jumlah bilangan pegawai dan anggota JIPS yang membabitkan jumlah terkini hanya 0.56 peratus daripada 130,000 keanggotaan. Jabatan itu akan dipertingkatkan sebagai usaha positif PDRM.

Semalam, SPRM mendedahkan kegiatan rasuah yang berleluasa di sepanjang sempadan Malaysia Thailand dipercayai dilakukan oleh pihak berkuasa.

Agensi itu turut menayangkan beberapa video yang menunjukkan penyeludupan berlaku dan penguat kuasa yang bertugas hanya berdiam diri tanpa mengambil sebarang tindakan.